Home Semasa Tiada sekatan jalan raya selepas rentas negeri dibenarkan – Khairy

Tiada sekatan jalan raya selepas rentas negeri dibenarkan – Khairy

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kerajaan tidak akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) bagi memeriksa individu yang belum divaksin sekiranya kebenaran rentas negeri dibenarkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan melakukan SJR semata-mata bagi menghalang pergerakan mereka yang enggan menerima vaksin akan menimbulkan kemarahan rakyat.

Beliau menjelaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya ada mengkaji cadangan wajib melaksanakan ujian kendiri kepada mereka yang menolak divaksinasi jika ingin merentas negeri.

“Bagaimanapun, tidak ada cara untuk menguatkuasakan cadangan itu kerana SJR tidak akan dilaksanakan selepas rentas negeri dibenarkan,

“Takkan la kita kena buat SJR dan periksa setiap orang yang merentas negeri di mana jika masih belum divaksin perlu buat ujian di situ (lokasi SJR),

“Jika itu dibuat saya rasa rakyat akan marah jika berlaku kesesakan jalan di mana mereka sudah menunggu untuk balik ke kampung, tiba-tiba ada SJR,” katanya pada sidang media, hari ini.

Khairy menegaskan, prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan terus digunakan.

“Ertinya, jika ada individu belum divaksin yang merentas negeri, dia tetap tidak boleh nikmati kelonggaran seperti makan di restoran dan seumpamanya,

“Walaupun kita akan kata hanya rentas negeri untuk mereka yang divaksinasi, tidak ada cara untuk kita mengawal pergerakan yang belum divaksinasi, saya akui, kita tidak akan ada SJR tetapi kalau mereka balik atau merentas negeri dan cuba makan di restoran, mereka tidak akan diberi kebebasan sedemikian,” tambahnya.

Tambahnya, kelonggaran ini tidak sama dengan gelembung pelancongan Langkawi yang mana jumlahnya tidak ramai dan ujian itu boleh dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan sudah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus melaksanakan Operasi Patuh (Op Patuh) di mana polis akan pergi ke kedai makan secara rawak dan memeriksa sama ada mereka sudah divaksin atau belum.

“Jika belum divaksin pelanggan dan pemilik premis akan dikompaun manakala bagi yang ingin merentas negeri nanti perlu sentiasa berhati-hati dan mengikut SOP sedia ada,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply