Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Kelantan lupus 245 bot nelayan asing sejak 2007

APMM Kelantan lupus 245 bot nelayan asing sejak 2007

by Nurulhuda

PASIR PUTIH, 8 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan sudah melupuskan 245 bot nelayan Vietnam dianggarkan bernilai RM367 juta sejak 2007 sehingga kini.

Pengarahnya Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, sebanyak 185 daripada bot itu dilupuskan secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di sekitar perairan Kelantan.

“Pada tahun ini Maritim Negeri Kelantan telah menahan sebanyak 22 bot nelayan asing Vietnam dan kami menjangkakan kesemua bot tersebut akan dilupuskan tahun ini atau selewat-lewatnya pada tahun hadapan setelah mendapatkan perintah lucut hak oleh mahkamah,

“Proses penenggelaman bot sebagai tukun tiruan ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) yang bekerja rapat dengan APMM,” katanya pada Khamis.

Semalam, sebanyak 5 bot nelayan asing Vietnam dilupuskan setelah dilucut hak oleh mahkamah secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan.

Menurutnya, kelima-lima bot ini telah ditahan melalui Operasi Naga Barat dan Operasi Kuda Laut yang dilaksanakan khusus untuk mengekang pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara.

“Kesemua bot disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dalam perairan perikanan Malaysia,

“Nilai denda mahkamah bagi kesemua yang ditahan berjumlah RM 6.7 juta namun kesemua kru bot memilih untuk dipenjarakan. Tempoh hukuman penjara antara 7 bulan sehingga 2 tahun,

“Manakala 5 bot yang dilupuskan hari ini dianggarkan bernilai RM7 juta,” tambahnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply