Home Semasa 2 Timbalan Speaker Dewan Rakyat sudah cukup – Muhyiddin

2 Timbalan Speaker Dewan Rakyat sudah cukup – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) membuat pendirian tiada keperluan mewujudkan 1 lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, pada masa ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kewujudan 2 Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sepertimana yang termaktub dalam Perkara 57 (1)(B) Perlembagaan Persekutuan sudah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan, peruntukan Perkara 57 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua juga memadai, bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan mesyuarat.

Sehubungan itu, tiada keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menambah 1 lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Cadangan pindaan Perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti 2 pertiga ahli Dewan Rakyat,

“PN berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama serta termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 September 2021.

“Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut,

“Justeru saya berpandangan adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya,” tambahnya.

Atas dasar ini, Muhyiddin berkata PN telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan tersebut. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply