Home Semasa Hanya tinggal 1.2 peratus untuk capai 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksin

Hanya tinggal 1.2 peratus untuk capai 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksin

by Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Sebanyak 20,786,568 individu atau 88.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap vaksin COVID-19 setakat semalam.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin kini tinggal 1.2 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi portal COVIDNOW, 94.6 peratus atau 22,135,242 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.

Setakat semalam juga, sebanyak 129,152 atau 4.1 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Selain itu, sebanyak 209,907 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 113,441 dos pertama dan 96,466 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar pada 24 Feb lepas meningkat kepada 45,007,832 dos.

Sementara itu, dua kes kematian harian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan kedua-duanya membabitkan kematian di hospital menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,981. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply