Home Semasa 15 Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan, saya telah hilang majoriti – Muhyiddin

15 Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan, saya telah hilang majoriti – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beliau dan barisan Jemaah Menteri meletakkan jawatan secara rasmi hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan tersebut dibuat ekoran dirinya yang telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Saya telah menyerahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Ini bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan,

“Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan kepada saya dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang,

“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlu lah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen,

“Pada hari ini saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Kabinet sebagaimana yang dikehendaki Perlembagaan Persekutuan,”katanya dalam Perutusan Khas yang disiar secara langsung, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, tindakan ini adalah selaras dengan sumpah jawatannya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Menurutnya, beliau tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, semata-mata untuk kekal berkuasa.

“Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi,

“Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat,

“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa,” jelasnya.

Terdahulu, Muhyiddin telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya.Beliau kemudian bergerak ke Istana Negara dan tiba pada 12.23 tengah hari, sebelum meninggalkan Istana Negara pada 1 tengah hari.

Muhyiddin yang juga Presiden Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 di hadapan Al-Sultan Abdullah pada 1 Mac 2020.

 

Related Articles

Leave a Reply