Home Ekonomi Lantik auditor luar awal satu usaha positif oleh Serba Dinamik – MSWG

Lantik auditor luar awal satu usaha positif oleh Serba Dinamik – MSWG

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) menegaskan langkah Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) melantik auditor luar baharu sebelum tempoh akhir Julai merupakan satu usaha positif oleh syarikat itu.

Pengerusi MSWG, Devanesan Evanson berkata, pelantikan auditor luar sebelum tempoh masa yang ditetapkan merupakan satu perkara yang baik dan positif.

“Serba Dinamik dan firma audit kini perlu fokus untuk mengeluarkan penyata kewangan beraudit sebelum tarikh akhir 31 Oktober ini,” katanya.

Semalam, Serba Dinamik telah melantik Nexia SSY PLT sebagai auditor luar baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh KPMG PLT.

KPMG PLT telah meletak jawatan sebagai auditor luar Serba Dinamik pada 24 Jun lalu.

Pelantikan Nexia SSY adalah sejajar dengan Akta Syarikat 2016 bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

‘Berkualiti tinggi walaupun bukan Big Four’ 

Devaneson menegaskan Nexia SSY merupakan badan berdaftar dengan Lembaga Pengawasan Audit (AOB) walaupun mereka bukan tergolong dalam Big Four.

“Mereka berdaftar dengan AOB. Lembaga ini bermatlamat memupuk pengauditan bebas berkualiti tinggi supaya wujud keyakinan terhadap mutu penyata kewangan beraudit entiti berkepentingan awam,

“Lazimnya, firma antarabangsa perlu mendapatkan pelepasan risiko berpusat antarabangsa sebelum mereka boleh melakukan audit ke atas isu-isu yang berbangkit,

“Maka ia menjadi isu `risk appetite’ bagi juruaudit. Nexis SSY seharusnya mampu melaksanakan tugas mereka sama seperti firma lain,

“Mereka adalah ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA), dilesenkan dan berdaftar dengan AOB. Kedua-dua organisasi ini sudah tentu melakukan usaha wajar (due diligence) sebelum meluluskan pendaftaran Nexia,” kata Devanesan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply