KUALA LUMPUR, 27 Jul – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tidak berpelembagaan.
Beliau berkata, tindakan kerajaan PN sangat merisaukan. Jika dibenarkan berterusan, Malaysia akan menuju ke kancah ‘stealth authoritarianism’.
“Keadaan di mana dalam waktu krisis, kerajaan menggunakan undang-undang mengikut citarasa mereka,
“Di kala mereka wajar lebih telus, mereka melakukan sebaliknya. Apa lagi bila mereka menggunakan krisis untuk melemahkan pelbagai instrumen semak dan imbang,
“Atau menggunakan krisis untuk mengukuhkan lagi kuasa eksekutif dan bukannya memberdayakan kepercayaan nasional melalui pelbagai kerjasama demokratik rentas politik dan ideologi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad menegaskan, pembatalan Ordinan Darurat secara tiba-tiba dilakukan tanpa ketelusan.
“Pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan semalam kepada saya adalah tidak berpelembagaan,
“Pembentangan Ordinan berkaitan Darurat telah dijadualkan untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen Khas. Namun secara tiba-tiba ia telah dibatalkan,
“Semua dilakukan tanpa ketelusan. Tiada pengumuman rasmi, tiada pembentangan di Parlimen, tiada makluman dari Istana Negara dan penwartaan,” ujarnya.
Jelasnya, Parlimen bukan medan persendaan. Kerajaan PN menggunakan Parlimen hanya untuk memenuhi kepentingan mereka dan bukan kepentingan nasional.
“Ordinan Darurat dilaksanakan tanpa di bentangkan di Parlimen, tidak di debatkan dan pelaksanaannya tidak dapat di semak dan imbang oleh Parlimen,
“Pembatalannya juga hanya dimaklumkan di Parlimen. Sejak bila Parlimen hanya menjadi ‘rubber stamp’ kepada keputusan Kabinet?, soalnya.
Sementara itu, beliau berkata UMNO telah melakukan tugasnya senafas dengan desakan rakyat iaitu menentang peristiharan darurat, mendesak pembatalannya, mengembalikan persidangan Parlimen dan mengembalikan fungsi Perlembagaan.
“Pendirian UMNO yang konsisten ini telah meletakkan kerajaan PN dalam kedudukannya yang terdesak dan sangat rapuh,
“Pembatalan Ordinan Darurat membuktikan kebenaran pendirian UMNO bahawa darurat dari awal lagi adalah salah dan tidak perlu,
“UMNO ternyata betul bahawa menggantung Parlimen dan melumpuhkan Perlembagaan bukan caranya untuk menguruskan krisis. Natijahnya Parlimen mula bersidang,” tegasnya.
Mengulas lanjut, pendirian UMNO juga benar bahawa menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan negara memerlukan penglibatan semua dan bukan hanya tindakan eksekutif.
“Semua ini meyakinkan UMNO bahawa ia telah jadi suara pencerahan kepada Malaysia yang sedang gelap dan malap,” katanya lagi. – airtimes.my