KUALA LUMPUR, 5 MEI – Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion sebagai langkah sokongan segera bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat pengenaan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, peruntukan itu sebagai sebahagian daripada ikhtiar Kerajaan MADANI menangani impak dasar perdagangan luar terhadap ekonomi domestik.
“Kerajaan komited untuk membantu perniagaan, khususnya PKS yang terjejas secara langsung daripada perkembangan global semasa. Ini bukan sekadar janji, tetapi tindakan konkrit,” katanya dalam sesi khas Parlimen hari ini
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 bilion akan disalurkan melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dalam bentuk jaminan kerajaan kepada pinjaman yang dibuat oleh PKS di bank komersial.
Manakala, baki RM500 juta pula akan disediakan dalam bentuk Dana Pembiayaan Mudah yang dikendalikan oleh Institusi Pembangunan Kewangan (DFI), bagi memastikan akses pembiayaan yang lebih mudah dan bersasar.
Beliau berkata demikian, inisiatif itu dijangka membantu syarikat tempatan, khususnya pengeluar dan pengeksport, mengekalkan operasi, pekerja dan kapasiti pengeluaran ketika berdepan ketidaktentuan perdagangan global.
“Kerajaan juga memberi jaminan akan terus memantau impak semasa serta bersedia menambah bantuan tambahan secara bersasar mengikut keperluan,” ujarya di Dewan Rakyat.
Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan ekonomi domestik tidak terlalu bergantung kepada satu pasaran eksport dan bersedia menghadapi sebarang kejutan luar.
Pada tahun lalu, eksport dengan hampir 60 peratus daripadanya melibatkan produk elektrik dan elektronik yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat kecil dan sederhana, ke AS mencecah sebanyak RM199 bilion.
Sehubungan itu, Anwar berkata, dengan penangguhan pelaksanaan tarif penuh oleh AS selama 90 hari, Malaysia masih mempunyai ruang untuk menyusun semula keutamaan dan melindungi sektor industri utama.
“Kerajaan mengambil langkah berani dan tangkas. Kita akan pastikan tiada syarikat kecil ditinggalkan menghadapi tekanan ini bersendirian,” tegas Anwar. – airtimes.my
#AirTimes #PKS #Tarif #AS #Malaysia