KUALA LUMPUR, 5 MEI – Malaysia sedang giat berunding dengan Amerika Syarikat bagi membolehkan negara ini dikecualikan daripada pelaksanaan tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Donald J. Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan kerja yang diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ke Washington pada April lalu berjaya membuka ruang dialog yang konstruktif dan menerima maklum balas yang positif daripada pihak Amerika Syarikat.
“Malaysia merupakan antara 18 buah negara yang berjaya mengadakan mesyuarat dengan kerajaan Amerika Syarikat dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu tarif,” katanya dalam sesi khas Parlimen pagi tadi.
Menurut beliau, rundingan itu turut membabitkan pertemuan rasmi dengan Duta Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer dan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick.
“Hasil daripada pertemuan itu, kerajaan menerima isyarat awal bahawa Washington bersedia mempertimbangkan cadangan pengecualian terhadap Malaysia dan membuka rundingan lanjut yang lebih mendalam,
“Jemaah Menteri dan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) telah bersetuju supaya MITI memulakan proses rundingan dengan Amerika Syarikat,” tambahnya.
Selain itu, Malaysia turut menawarkan kerjasama strategik seperti pembelian 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group, pelaksanaan rangka kerja awan melibatkan syarikat teknologi utama AS serta pengukuhan perlindungan harta intelek dalam bidang cip dan elektronik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, semua rundingan ketika ini masih berada di peringkat awal dan tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA), selaras dengan amalan antarabangsa.
“Sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh termasuk di peringkat Kabinet dan, jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen.
Ujarnya, terdapat kemungkinan tarif timbal balas ke atas Malaysia dapat dikurangkan hasil rundingan tersebut. – airtimes.my
#Tariftimbalbalas #AS #MITI #ekonomiMADANI #AirTimes