KUALA LUMPUR, 5 MEI – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan latihan penerbangan secara intensif melibatkan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter sebagai persiapan menyeluruh menjelang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, latihan tersebut akan dijalankan dalam dua fasa bermula pada 6 Mei. Fasa pertama akan berlangsung sehingga 13 Mei di ruang udara sekitar Alor Setar, Kedah dan Butterworth, Pulau Pinang.
Seterusnya, Fasa kedua akan dilaksanakan di ruang udara Langkawi dari 14 hingga 19 Mei.
“Tumpuan latihan ini adalah untuk memperkukuh kesiagaan dan kecekapan anak kapal TUDM agar mampu memberikan persembahan udara yang terbaik sewaktu acara pembukaan serta demonstrasi udara sepanjang LIMA’25 nanti,” menurut kenyataan tersebut.
TUDM memaklumkan bahawa sepanjang tempoh latihan, orang ramai mungkin akan melihat pesawat tentera terbang pada ketinggian rendah di beberapa kawasan, selain turut mendengar bunyi letupan yang digunakan bagi tujuan gimik pembukaan.
“Latihan ini akan melibatkan penerbangan taktikal pada altitud rendah dan beberapa siri letupan. Orang awam tidak perlu panik atau cemas sekiranya mendengar bunyi kuat atau menyaksikan pesawat-pesawat TUDM melakukan penerbangan luar biasa di kawasan mereka,” tambah kenyataan itu lagi.
Langkah awal TUDM ini bukan sahaja menandakan komitmen penuh angkatan udara terhadap kejayaan LIMA’25, malah mencerminkan kesiapsiagaan berterusan dalam mempamerkan keupayaan aset pertahanan negara di peringkat antarabangsa.
LIMA’25 yang akan berlangsung selama 5 hari mulai 20 Mei ini dijangka menghimpunkan pelbagai aset pertahanan dan keselamatan dari dalam serta luar negara.
Latihan pra-acara ini merupakan langkah penting dalam memastikan koordinasi dan keselamatan sepanjang pameran berlangsung kelak. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TUDM #LIMA25