if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Ekonomi Pelaburan Malaysia di AS cecah RM34.4 bilion, hubungan dua hala saling untung

Pelaburan Malaysia di AS cecah RM34.4 bilion, hubungan dua hala saling untung

by Aqilah Azman

KUALA LUMPUR, 5 MEI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, hubungan ekonomi antara Malaysia dan Amerika Syarikat kekal seimbang dan saling menguntungkan, sekaligus menolak dakwaan berat sebelah yang menjadi alasan kepada pengenaan tarif balas oleh pentadbiran Washington.

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat Parlimen hari ini, beliau mendedahkan pelaburan Malaysia yang telah diluluskan di AS kini mencecah RM34.4 bilion atau sekitar USD8.2 bilion.

“Malaysia bukan sekadar rakan dagang kepada Amerika Syarikat, tetapi juga penyumbang aktif kepada pertumbuhan ekonominya,” ujar beliau.

Pelaburan itu merangkumi sektor tenaga, bahan kimia, makanan, logistik dan teknologi tinggi, dan terus berkembang dalam suasana hubungan ekonomi dua hala yang stabil sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1957.

Dalam pada itu, Anwar juga memaklumkan pelaburan berkaitan kerajaan dalam pasaran bon dan modal AS kini, berjumlah RM182.7 bilion atau USD43.5 bilion, terdiri daripada RM124.3 bilion dalam pasaran awam dan RM58.4 bilion dalam pasaran swasta.

Beliau menegaskan, angka-angka ini menunjukkan Malaysia memainkan peranan penting sebagai pelabur global dan bukan hanya pihak yang menerima manfaat secara sepihak.

“Fakta ini menolak sama sekali dakwaan bahawa Malaysia mengenakan tarif tidak adil terhadap import dari Amerika Syarikat. Sebaliknya, kita telah memberikan sumbangan besar kepada ekonomi mereka melalui pelaburan dan pasaran modal,” katanya.

Susulan itu, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM72 bilion dalam hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat pada tahun 2024, hasil daripada eksport barangan seperti elektrik dan elektronik.

Anwar turut berkata, kerajaan komited mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat sebagai rakan dagang strategik, tetapi tidak akan berkompromi terhadap fakta dan kedaulatan ekonomi negara.

“Hubungan dua hala ini adalah rantaian dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kita akan terus berunding secara adil, bukan mengalah kepada tekanan,” tegas beliau. – airtimes.my

#AirTimes #Pelaburan #Ekonomi #AmerikaSyarikat #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply