KUALA LUMPUR, 5 Mei – Isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pekebun haram durian musang king di Raub, Pahang yang mendapat perhatian rakyat seluruh negara sejak bulan lalu dikatakan sedang mencari jalan untuk ke meja rundingan.
Ini berdasarkan satu hantaran menerusi laman Facebook atas nama Ronnie Liu Tian Khiew dipercayai milik bekas ahli politik veteran PH-DAP, Ronnie Liu.
Sejak semalam, hantaran tersebut dengan menunjukkan satu dokumen bertulis ‘FARMERS/GROWERS WITHOUT LEGAL STATUS – TERM SHEET’ tular di media sosial sehingga dikongsikan banyak pihak.
Ronnie, bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP juga sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Selangor.
Pada paparan tersebut, beliau menulis tujuh perkara secara nota dalam bahasa Inggeris berhubung pandangan terhadap isi dokumen tersebut yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu bertulis,
Pandangan saya
1. Kontrak tidak berat sebelah
2. Ia adalah penyelesaian menang-menang untuk kerajaan negeri Pahang, syarikat lantikan negeri (RPD durian resources pkpp sdn bhd) dan petani tanpa status sah.
3. Ia adalah penyelesaian jangka panjang, 30 tahun campur 30 tahun.
4. Tiada lagi penebangan pokok.
5. Semua ladang sedang dihalalkan.
6. Tidak menoleh ke belakang (tiada lagi hujah siapa yang betul dan siapa yang salah)
7. Boleh menjadi penanda aras untuk menyelesaikan masalah lain yang serupa yang dihadapi oleh negeri dan petani. (jumlah keluasan ladang durian tanpa status sah… Lebih 12,000 ekar)
Bagaimana pun, sejauhmana kesahihan tentang andaian pekebun durian ingin ke meja rundingan tidak dapat dipastikan.
Sebelum itu, menerusi hantaran beliau pada 11 April, Ronnie turut memberikan pandangan susulan operasi penguatkuasaan menebang pokok durian musang king di Sungai Ruan, Raub melibatkan kawasan seluas kira-kira 2-2.3 hektar.
Tulis beliau,
“Tebang pokok durian bukan penyelesaian yang baik.Rundingan seharusnya dimulakan walaupun agak lewat. Mahkamah Rayuan telah meminta semua pihak berunding di luar mahkamah pada tahun yg lalu.
“Mengapa tidak ada usaha atau minat drpd mana-mana pihak utk berunding? Perkara ini tidak masuk akal. Petani bukan musuh kerajaan dan Kerajaan bukan musuh petani. Syarikat gabungan swasta dan negeri pun bukan musuh petani.
“Apa salahnya duduk bersama di meja runding? DAP bukan lagi parti pembangkang. Sebagai anggota kerajaan di peringkat negeri dan juga perlngkat pusat, DAP ada kuasa dan kedudukan uuntuk mencari penyelesaian atau solusi yang lebih baik melalui rundingan.
“Bukan semata-mata meminta pemberian tanah kerajaan atau hutan simpan percuma kepada para petani. Cuma berusaha mencapai satu kaedah penyelesaian yang dianggap lebih baik daripada kaedah yang sedia ada.
“Bukankah ini tanggungjawab sebagai wakil rakyat, pemimpin politik dan anggota kerajaan yang bertanggungjawab?,” ujarnya.-airtimes.my
#semasa #kebundurian #Raub #pekebun #airtimes #Malaysia