KUALA LUMPUR, 5 MEI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia memiliki asas ekonomi yang kukuh dan berada dalam keadaan bersedia menghadapi cabaran global termasuk tindakan tarif balas oleh Amerika Syarikat (AS).
Anwar Ibrahim menyatakan dalam sesi khas Parlimen hari ini, reformasi struktur melalui kerangka Ekonomi MADANI telah memperkukuh daya tahan ekonomi negara dan memberikan keyakinan dalam mengurus sebarang ketidaktentuan.
“Walaupun berdepan tekanan luar seperti tarif import AS, kita tidak mudah goyah kerana ekonomi domestik negara berasaskan angka dan data yang kukuh,” ujarnya.
Sehubungan itu, Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 5.1 peratus, mengatasi unjuran Belanjawan 2024 antara 4 hingga 5 peratus. Defisit fiskal berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024, dengan unjuran 3.8 peratus bagi tahun 2025, mengikut pembentangan pencapaian ekonomi utama ekonomi Malaysia tahun 2024.
“Kadar inflasi menurun kepada 1.8 peratus dan dijangka kekal rendah pada 1.5 peratus untuk suku pertama tahun ini. Kadar pengangguran pula terus menurun kepada 3.1 peratus – tahap terendah dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut berkata, pelaburan mencecah RM378.5 bilion yang diluluskan, merupakan antara tertinggi dalam sejarah negara.
Menurutnya, angka ini menunjukkan Malaysia memiliki ruang fiskal mencukupi dan struktur ekonomi yang membolehkan negara bergerak secara kukuh tanpa bergantung kepada pasaran tunggal atau sektor tertentu.
Beliau turut menekankan, Malaysia kekal pertumbuhan yang stabil dan bersedia menyesuaikan dasar mengikut keperluan, meskipun ekonomi global dijangka berkembang secara lebih sederhana pada tahun 2025.
“Respons dasar kita adalah bersifat data-driven dan disusun secara strategik, agar langkah yang diambil tepat pada masanya dan fokus kepada mereka yang paling terkesan,” kata beliau di Dewan Rakyat.
Justeru, kerajaan komited dalam terus memperhebatkan agenda reformasi ekonomi dalam jangka sederhana, dengan menambah pelaburan strategik dan mempelbagaikan pasaran eksport negara.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru agar rakyat dapat mengekalkan keyakinan terhadap kemampuan negara dalam menghadapi ketidaktentuan semasa tanpa perlu tunduk kepada tekanan luar. – airtimes.my
#AirTimes #Ekonomi #Tarif #AS #Malaysia