if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Diskusi Kor Marin AS tubuh pasukan serangan dron, beri isyarat perubahan doktrin tempur

Kor Marin AS tubuh pasukan serangan dron, beri isyarat perubahan doktrin tempur

by Zulfadhli Azmie

Ketika medan perang moden menyaksikan transformasi drastik akibat kemunculan dron murah tetapi berkuasa, Kor Marin Amerika Syarikat (USMC) tidak lagi menunggu.

Sebagai respon terhadap penyebaran pantas teknologi dan taktik dron FPV bersenjata yang semakin digunakan dalam konflik moden, khususnya di Eropah Timur.

AS mengambil langkah dengan menubuhkan unit khas yang bukan lagi sekadar bereksperimen, tetapi bersedia untuk menyerang.

Marine Corps Attack Drone Team (MCADT) kini menjadi wajah baharu kekuatan taktikal USMC, di mana dron FPV (First Person View) bukan lagi sekadar mainan teknologi, tetapi alat pemusnah dalam tangan pasukan elit AS.

Langkah ini diumumkan secara rasmi oleh Mejar Jeneral Anthony M. Henderson, Panglima Latihan Kor Marin, bersama Brigedier Jeneral Simon M. Doran dari Makmal Peperangan Kor Marin dalam satu gandingan antara latihan dan inovasi yang membawa pendekatan tempur kepada tahap seterusnya.

Dron kecil, kesan besar

Kos rendah, impak tinggi. Itulah realiti teknologi dron FPV yang kini mengubah alur pertempuran. Dengan pelaburan serendah USD5,000, MCADT mampu melancarkan sistem serangan yang setanding dengan senjata bernilai ratusan ribu dolar.

Dron-dron ini bukan sahaja boleh dikawal dari jarak 20 kilometer, malah mampu memukul sasaran dengan ketepatan yang menggerunkan.

“MCADT akan memacu pembangunan doktrin, latihan dan keperluan perkhidmatan yang berpaksikan teknologi ini,” kata Brig Jen Doran.

Tambahnya, ia bukan sekadar memperkukuh daya bunuh individu dan unit, tetapi memperkenalkan paradigma tempur baharu dari mata burung yang mematikan.

Selain itu, dengan berpangkalan di Quantico, unit ini beroperasi di bawah Batalion Latihan Senjata (WTBn), dan berganding bahu dengan Makmal Peperangan Kor Marin serta Pasukan Menembak Kor Marin (MCST) yang terkenal dengan ketepatan senjata.

Kerjasama ini membolehkan pembangunan dron ini dilakukan bersama pakar tempur sebenar dan bukan sekadar jurutera atau pereka teknologi.

Ini membuktikan MCADT diwujudkan dengan misi yang berfokuskan terhadap pembunuhan dan pemusnahan, tidak kira sama ada individu atau kenderaan pertempuran.

Mesej kepada dunia

Dengan kewujudan MCADT, USMC menghantar mesej jelas kepada dunia mereka bersedia untuk bertempur dalam dimensi baharu.

Jika sebelum ini dron digunakan sebagai alat pemantauan, kini ia menjadi peluru berpandu yang dikawal secara langsung yang mampu membedil sasaran dengan impak maksimum tanpa perlu menjejakkan kaki ke zon bahaya.

Ini bukan hanya perubahan pada taktik. Ia satu transformasi dalam falsafah peperangan.-airtimes.my

#AirTimes #USMC #MCADT #FPVDrones #KorMarinAS #TeknologiKetenteraan #RevolusiDron

Related Articles

Leave a Reply