Home Semasa Vaksin COVID-19: Menyamar kakitangan KKM sebelum lakukan penipuan

Vaksin COVID-19: Menyamar kakitangan KKM sebelum lakukan penipuan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 38 laporan berkaitan isu penipuan vaksin COVID-19 yang melibatkan kerugian berjumlah RM54 ribu.

Pengarah Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Komisioner Polis Datuk Mohd Kamaruddin Md Ali berkata, pihak polis turut mengesan kewujudan modus operandi baru yang menggunakan isu penjualan vaksin COVID-19 untuk memperdaya mangsa.

“Dalam kes ini, mangsa akan dihubungi oleh sindiket yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya memaklumkan bahawa mangsa akan dikenakan tindakan kerana didapati telah menjual vaksin COVID-19 secara atas talian melalui laman facebook,

“Mangsa yang panik dengan dakwaan tersebut kemudiannya akan menuruti semua arahan yang diberikan sehingga akhirnya membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket,

“Sehingga kini, 38 laporan polis telah diterima berkaitan kes-kes sebegini melibatkan kerugian berjumlah RM54 ribu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, sehingga kini 4 laporan polis telah diterima berkaitan isu vaksin tersebut di mana, 3 daripadanya berkenaan penjualan vaksin COVID-19 kepada orang awam.

Manakala, satu laporan polis adalah berkenaan isu penambahan jumlah penerima vaksin COVID-19 di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga melebihi jumlah vaksin yang dibekalkan.

“Satu daripada siasatan kes-kes tersebut telahpun selesai dan pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan setelah siasatan mendapati tiada bukti serta keterangan yang mencukupi untuk menuduh suspek-suspek terlibat,

“Baki 3 lagi kertas siasatan masih dalam siasatan,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata, pihak polis juga telah menahan 8 individu bagi membantu siasatan yang dijalankan berkaitan isu vaksin COVID-19 dan kesemua mereka telahpun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dijalankan.

Pada masa yang sama, Mohd Kamaruddin berkata, pihak polis turut menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan siasatan kes-kes ini.

Menurutnya, selaku agensi penguatkuasa undang-undang, pihak polis sentiasa komited untuk memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan pihak sindiket yang dilihat mengambil kesempatan dengan memanipulasi isu semasa untuk mengaut keuntungan dengan cara yang salah,

“Pihak polis mengalu-alukan orang ramai untuk menghubungi talian scam response center sekiranya mempunyai sebarang keraguan mehupun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersil,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply