Home Semasa Bukan terkandas tetapi jumlah PATI yang ramai – KP Imigresen

Bukan terkandas tetapi jumlah PATI yang ramai – KP Imigresen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jul – Kesesakan luar biasa membabitkan ribuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bukan disebabkan masalah terkandas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka yang terlibat juga bukanlah diminta berkumpul di lokasi tersebut, sebaliknya sedang menunggu giliran bagi membayar kompaun sebanyak RM500.

Beliau berkata, warga asing itu juga dalam proses mendapatkan Memo Periksa Keluar (Check Out Memo) sebelum dibenar meninggalkan Malaysia kerana kesalahan tinggal lebih masa.

“JIM merujuk kepada laporan berita beberapa akhbar tempatan berkenaan sambutan luar biasa Program Rekalibrasi Pulang PATI (pendatang asing tanpa izin) di KLIA,

“Laporan berkenaan turut menyatakan terdapat ramai PATI yang terkandas dan terlepas penerbangan di kaunter Imigresen kerana proses kerja yang mengambil masa,

“Semua warga asing berkenaan tidak terperangkap atau diminta berkumpul di KLIA sebaliknya mereka menunggu giliran bagi membayar kompaun RM500 dan mendapatkan Memo Periksa Keluar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Khairul Dzaimee berkata, sambutan ke atas program rekalibrasi pulang sangat menggalakkan iaitu sehingga 20 Julai 2021, seramai 101,691 PATI berdaftar dan 83,117 daripada jumlah itu sudah meninggalkan negara.

“Bagi kaunter khas di KLIA, mulai 5 hingga 20 Julai, seramai 3,483 orang PATI pulang melalui perkhidmatan kaunter ini,

“Jumlah PATI yang datang ke KLIA adalah di luar jangkaan dan melebihi kapasiti ruang menunggu disediakan di tingkat 3 KLIA,

“Selain itu, kita juga mengesan terdapat kalangan mereka yang terlepas penerbangan kerana datang lewat, tetapi terus kekal berada di KLIA untuk menunggu giliran dan penerbangan seterusnya,” tambahnya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengambil langkah segera bagi mempercepat dan melancarkan urusan pulang PATI melalui Kaunter Khas di KLIA.

“Antaranya ialah JIM sedang berunding dengan pihak pengurusan KLIA untuk penambahan kaunter dan lokasi menunggu giliran yang lebih sesuai serta meluaskan operasi kaunter Rekalibrasi Pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),

“Sebanyak 20 kaunter tambahan dan ruang menunggu yang baharu akan dibuka secara berpusat di Short Term Car Park KLIA yang dijangka dapat menampung kapasiti seramai 850 sehingga 1000 orang pada satu-satu masa,” jelasnya.

Selain itu, 8 buah kaunter dan ruang menunggu akan dibuka di aras 2 KLIA2 dengan kapasiti seramai 500 orang pada satu masa.

“Kedua-dua lokasi kaunter dan ruang menunggu baharu ini dijangka akan dapat memulakan operasi pada minggu depan.

“Sebagai tambahan, JIM juga sedang mengambil tindakan untuk membuka kaunter khas di Pintu Masuk Laut di Johor bagi memberi kemudahan kepada PATI warga Indonesia pulang segera menggunakan feri,

“JIM juga ingin memaklumkan hanya PATI yang mempunyai slip ujian RT PCR negatif sahaja dibenarkan berurusan di kaunter khas ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berharap, penambahbaikan yang dilaksanakan ini dapat mengatasi masalah kesesakan dan melancarkan lagi pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang melalui Kaunter Khas di KLIA. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply