KUALA LUMPUR, 8 Jul – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mujahid Yusof Rawa menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini telah jatuh selepas UMNO membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mujahid menerusi hantaran di Facebooknya berkata, kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik ini adalah dengan menubuhkan kerajaan interim sebagai cara menyambut kejatuhan kerajaan PN ini.
“Pakatan Harapan (PH) kekal blok terbesar setakat berita awal pagi tadi dan kerajaan Muhyiddin telah dihina oleh UMNO dengan ungkapan #kerajaangagal yang dijadikan alasan untuk keluar dan menarik diri daripada mengekalkan sokongan kepada kerajaan beliau,
“Pilihan UMNO yang diumumkan awal pagi tadi, merintis jalan kepada kejatuhan kerajaan PN tetapi alternatif sebuah kerajaan kuat dan stabil seperti titah Yang di-Pertuan Agong masih belum kelihatan,
“PH kekal blok terbesar 89 Ahli Parlimen tetapi tidak cukup bentuk kerajaan, baki ‘strong and formidable majority’ masih ada di tangan blok Barisan Nasional, Sabah, Sarawak manakala fraksi Tun Mahathir Mohamad mungkin menanti peluang,” katanya pagi tadi.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menjelaskan, jatuhnya PN secara teknikal bermakna kegagalan, keangkuhan dan lebih utama satu pengkhianatan serta PH kekal konsisten mahukan mandat rakyat dikembalikan.
Sehubungan itu, UMNO tarik diri dari PN dan jelas dari kenyataan Presidennya, Datuk Seri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahukan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan setelah kelompok imuniti dicapai.
Terdahulu, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang disiarkan di laman media sosial rasminya malam tadi memutuskan, parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkuat kuasa serta merta.
Selain itu, UMNO turut mendesak supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dengan memastikan proses vaksinasi serta imunisasi dapat disegerakan.
Mesyuarat MKT malam tadi juga menegaskan, UMNO tidak sesekali menyokong sebarang usaha untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Lead Government).
Pada masa yang sama, Mujahid juga merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar turut mempersoalkan sama ada tindakan UMNO yang menarik diri daripada kerajaan adalah disebabkan kegagalan kerajaannya sendiri.
“Hairan juga, adakah UMNO mengatakan pada diri sendiri kerana Timbalan Perdana Menteri UMNO dan Menteri Kanan UMNO baru sahaja dilantik kelmarin,
“Menteri Vaksin, Menteri Kesihatan, Menteri Pertahanan, Sukan, Perpaduan, Pengajian Tinggi, Menteri Luar dan ramai Timbalan Menteri adalah dari UMNO,
“Apakah yang gagal adalah UMNO dan sebab itu dia menarik diri dari kerajaannya sendiri!” tegasnya.
Tambah Mujahid, sekali lagi kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diperlukan untuk meralisasikan kerajaan yang kukuh dan stabil bagi menangani COVID-19 dan ekonomi yang semakin parah kini.
“Rakyat menderita, ekonomi dalam bahaya, COVID-19 terus meningkat. Amat malang bagi negara ini terpaksa melalui musibah ini,
“Tapi sekurangnya satu kegagalan dan pengkhianatan telah diakhiri,” jelasnya.-airtimes.my