Home Pertahanan dan Keselamatan PAT ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Jen Tan Sri Mohd Ghazali

PAT ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Jen Tan Sri Mohd Ghazali

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jul – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas PAT Ke-8, Jeneral Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat yang meninggal dunia, semalam.

ATM dalam kenyataan berkata, pihaknya berdukacita di atas pemergian Allahyarham dan mendoakan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Adalah dimaklumkan bekas Panglima ATM Ke-8, Jeneral Tan Sri Mohd Ghazali kembali ke rahmatullah di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Mizan) Kuala Lumpur petang Rabu,

“Jenazah Allahyarham akan disempurnakan di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini pada hari ini (8 Julai),

“Allahyarham akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai, Taman Perumahan AU, Keramat untuk dikebumikan selepas selesai solat jenazah di masjid berkenaan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat bagi mematuhi SOP ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.30 petang semalam di HAT Mizan.

Mohd Ghazali, 90 memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat dari 1984 hingga 1985 dan kemudian dilantik Panglima Angkatan Tentera selama 3 tahun berakhir 1987.

Selepas bersara, Mohd Ghazali pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Boustead Holdings Bhd dan Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply