Home Semasa Kadar gaji minimum dikaji semula agar relevan – PM

Kadar gaji minimum dikaji semula agar relevan – PM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kadar gaji minimum pekerja sedang dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio-ekonomi semasa, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum dan berusaha membela hak pekerja dengan lebih baik.

“Saya berharap dan menyeru agar semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2021 yang disiarkan di televisyen hari ini.

Perdana menteri menjelaskan ia merupakan antara usaha yang diambil kerajaan yang menggariskan tiga strategi utama sejak setahun lepas bagi membantu golongan pekerja dalam berdepan kesukaran semasa akibat wabak COVID-19.

Menurutnya strategi pertama ialah mengekalkan pekerjaan, strategi kedua melindungi hak pekerja manakala strategi ketiga mencipta peluang pekerjaan.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga dalam proses menambah baik dan meminda undang-undang perburuhan terutamanya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaiannya.

Ia termasuk kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti bersalin selama tiga hari, mengurangkan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel.

Dalam usaha mengurangkan jumlah pengangguran, Muhyiddin turut menyentuh usaha yang dilaksanakan kerajaan termasuk perkhidmatan pekerjaan dan pemadanan kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs), pusat sehenti UpskillMalaysia dan program Short-term Employment Program atau MySTEP.

Di bawah program MySTEP, seramai 30,377 telah berjaya mendapat pekerjaan sejak diperkenalkan sehingga 16 April lepas.

Menurutnya bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam negara, kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan memperkenalkan Dasar Pinjaman Boleh Ubah Program Pinjaman Latihan Kemahiran bagi peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply