Home Semasa 3 PKPD diisytihar di Sabah, PKP Keningau dilanjutkan

3 PKPD diisytihar di Sabah, PKP Keningau dilanjutkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Apr – Kerajaan hari ini memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 3 lokaliti di Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu dilaksanakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu yang akan melibatkan 3 Kolej kediaman (KK) iaitu KK Tun Mustapha, KK Tun Fuad dan KK Tun Pengiran Ahmad Raffae.

Selain itu, Kampung Pagalungan Ansip di Keningau dan Kampung Kalindukan di Nabawan, Sabah turut dikenakan PKPD bermula esok sehingga 18 April 2021.

Ketiga-tiga lokaliti ini dikenakan PKPD berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan.

“Di UMS, Sabah, KKM telah melaksanakan 133 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 19 kes positif COVID-19 telah direkodkan,

“Manakala, di Kampung Pagalungan Ansip, Keningau pula, sebanyak 146 ujian saringan telah dilaksanakan dan 15 kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti ini,

“KKM telah melaksanakan 99 ujian saringan di Kampung Kalindukan, Nabawan Sabah dan daripada jumlah itu sebanyak 8 kes positif COVID-19 telah direkodkan,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Menurut Ismail Sabri PKPD ini memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan dalam komuniti.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Keningau, Sabah dilanjutkan sehingga 18 April 2021. Perlanjutan ini dilakukan kerana wujudnya beberapa kluster baharu dan peningkatan kes dalam komuniti di kawasan berkenaan.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 2,138 kes COVID-19 telah direkodkan dalam daerah ini dengan beberapa kampung telah dilaksanakan PKPD ketika ini,” jelasnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply