KUALA LUMPUR, 2 Feb – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang akan berakhir pada 4 Februari ini akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 18 Februari 2021.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP kali ini akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
Beliau berkata, keputusan untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara kecuali di Sarawak itu ekoran penelitian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melihat peningkatan jumlah kes positif COVID-19.
“KKM mengesahkan kes harian di kesemua negeri-negeri ini masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positivitinya dalam kluster adalah 20 hingga 40 peratus, malah penularan sporadik dalam komuniti juga tinggi yang melibatkan warga negara dan juga yang bukan warganegara,
“Sehubungan itu, di atas penilaian risiko dan nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara bermula dari 5 hingga 18 Februari kecuali kawasan-kawasan di Sarawak yang telah diisytiharkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB),” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan PKP, hari ini.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kegiatan rentas negeri dan aktiviti sosial masih tidak dibenarkan.
“Setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan data-data daripada KKM,
“Sebagai contoh, larangan rentas negeri dilaksanakan memandangkan terdapat 31 kluster dikesan berkaitan rentas negeri,” tambahnya. –airtimes.my