Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal tunda asing berlabuh tanpa kebenaran

APMM tahan kapal tunda asing berlabuh tanpa kebenaran

by Nurulhuda

LUMUT, 2 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak telah menahan sebuah kapal tunda yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 4.6 batu nautika barat daya Pulau Dua, Pulau Pangkor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, penahanan itu dibuat semasa anggota APMM sedang melaksanakan Operasi Pintas (Op Pintas) dan mengesan sebuah kapal tunda membawa paip besi dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 1.00 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal tersebut dikendalikan 13 kru terdiri daripada warga Filipina dan Honduras berumur 30 hingga 65 tahun serta mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Kapal yang berdaftar di Singapura itu dipercayai dalam perjalanan dari Indonesia menuju ke India,

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) kerana melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,

“Sekiranya didapati bersalah kesalahan ini boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun atau denda tidak lebih RM100 ribu atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu hantaran di media sosial milik APMM.

Shahrizan menjelaskan, kesemua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) di Perairan Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Tambahnya, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply