Home Semasa COVID19: KKM jangka kes harian cecah angka 8 ribu Mac ini

COVID19: KKM jangka kes harian cecah angka 8 ribu Mac ini

by M.Daim

PUTRAJAYA, 19 Jan – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah memberi amaran angka harian kes jangkitan baru COVID-19 akan mencecah angka 8 ribu pada Mac ini.

Menurut beliau, ini adalah berdasarkan unjuran angka kebolehjangkitan atau R-Nought (Rt) terkini.

“Nilai Rt pada hari ini adalah melebihi 1.2 berbanding 1.16 pada 18 Januari 2021,

“Jika kita melihat kepada unjuran Rt 1.2, kita menjangkakan 5 ribu kes harian pada minggu ketiga Februari 2021 dan 8 ribu pada minggu ketiga Mac ini,

“Oleh itu, amatlah penting untuk kita melaksanakan PKP,” jelasnya.

Beliau menegaskan, adalah penting kepada rakyat Malaysia untuk mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penjagaan kendiri dari dijangkiti wabak COVID-19.

“Kita memerlukan perlaksanaan PKP untuk mengawal penyakit ini,” tambahnya.

Terdahulu, Noor Hisham mengesahkan sebanyak 3,631 kes jangkitan baharu dikesan pada hari ini. Angka ini melibatkan 3,524 penularan tempatan dan 7 kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan menegaskan angka harian tinggi yang direkodkan beberapa hari lalu adalah berpunca dari kes pesakit yang terdedah kepada virus COVID-19 sebelum PKP dilaksanakan.

“Kes-kes yang dilaporkan semenjak beberapa hari ini adalah kerana pesakit terdedah kepada virus tersebut dalam tempoh 2 minggu lalu,

“Oleh itu, kita hanya akan dapat melihat kesan perlaksanaan PKP 14 hari selepas ianya dilaksanakan,

“Pada ketika itu, kita baru dapat melihat sama ada kes akan menurun atau stabil terlebih dahulu sebelum berlaku penurunan angka,” ujarnya.

3,631 kes jangkitan yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes COVID-19 meningkat kepada 165,371.

Sementara itu, Noor Hisham turut mengesahkan seramai 238 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 96 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selain itu, jumlah kes aktif telah meningkat kepada 39,464.

Jumlah kes kematian akibat COVID-19 di negara ini telah meningkat kepada 619 kes berikutan 14 pesakit disahkan meninggal dunia dalam 24 jam lalu.

Pada masa yang sama, seramai 2,944 pesakit disahkan sembuh dan menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 125,288 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply