Home Semasa Kerajaan kekal halang warga asing bekerja di Pasar Selayang

Kerajaan kekal halang warga asing bekerja di Pasar Selayang

by Hazli Fikri

KUALA LUMPUR 17 Dis – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak akan berganjak dari pendiriannya untuk tidak membenarkan pengambilan pekerja asing di Pasar Borong Selayang.

Annuar dalam satu hantaran di akaun Twitternya berkata, keputusan beliau itu kekal walaupun terdapat pemborong mengemukakan rayuan untuk membenarkan pengambilan pekerja asing.

“Saya terima surat rayuan pemborong mahu ambil warga asing untuk berkerja sebagai pembantu di Pasar Borong Selayang,

“Jawapan saya adalah tetap, tidak benarkan warganegara asing berkerja di situ,” tegasnya.

Beliau menambah, sepatutnya para peniaga mengambil warga tempatan mengisi kekosongan kerja. Selain itu, Annuar menyatakan pihak peniaga tidak perlu lagi merayu kepada kerajaan untuk membenarkan pengambilan pekerja asing.

“Ambil warga tempatan berkerja, usah cuba buat rayuan lagi. Ini dasar,” tegasnya.

Sebelum ini, kawasan pasar borong Selayang dikenali sebagai Little Myanmar dan Little Arakan berikutan kebanjiran warga asing yang berkerja di situ.

Kawasan tersebut pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan pada 20 April berikutan peningkatan kes wabak COVID-19.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan telah melaksanakan pemeriksaan dan menangkap mana-mana warga asing yang didapati melanggar peraturan imigresen.- airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply