Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kapal LCS lewat: PAC panggil Zahid Hamidi, mantan Panglima Tentera Laut

Kapal LCS lewat: PAC panggil Zahid Hamidi, mantan Panglima Tentera Laut

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mantan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar bagi melengkapkan siasatan terhadap isu kegagalan pembekalan 6 Kapal Tempur Persisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bernilai RM9 bilion.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dalam kenyataan berkata, Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd merupakan kontraktor utama projek kapal LCS turut dipanggil dalam prosiding yang akan disambung pada awal bulan Januari tahun hadapan.

“Pelantikan BNS Sdn Bhd dilakukan secara rundingan terus dan sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar, namun tidak ada sebuah pun kapal LCS yang telah siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya 2 kapal LCS telah siap dibina setakat ini,

“Isu ini telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian / Jabatan Persekutuan) dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan pada tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan penyiapan kapal LCS ini amat serius, kerana ia membabitkan kelemahan dari segi tadbir urus, perolehan serta kewangan, tetapi memberi impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara.

“PAC Parlimen berpendapat bahawa suatu penyelesaian hendaklah diputuskan oleh kerajaan secepat mungkin dan berikutan itu, adalah penting bagi PAC Parlimen untuk menyegerakan prosiding isu ini dan membentangkan laporannya ke Dewan Rakyat,” ujarnya.

Wong berkata PAC Parlimen juga akan mengadakan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak pada Januari 2021.

“PAC Parlimen berhasrat untuk melengkapkan dan membentangkan Laporan PAC berhubung isu pembekalan 6 kapal generasi kedua LCS ini ke Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen pada Mac 2021,” katanya lagi.

Menurutnya, sehingga hari ini, 4 mesyuarat telah dijalankan dan 7 saksi telah dipanggil termasuklah Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid; Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan, Ambrin Buang; dan Ketua Setiausaha Pertahanan Malaysia Muez Abdul Aziz.

Selain itu, mereka yang telah dipanggil adalah Ketua Pengarah Pasukan Projek LCS (PPLCS), Laksamana Pertama Shaiful Bahri Baharuddin; Mantan Ketua Pengarah PPLCS, Laksamana Pertama Azuwan Harun; Mantan Ketua Pengarah PPLCS, Laksamana Muda Datuk Ir Mohd Shaiful Adli Chung Abdullah dan Mantan Ketua Pengarah PPLCS Kepten (B) Azhar Jumat.

Tambahnya, pembinaan 6 kapal LCS ini merupakan perolehan yang terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply