Home Politik Kerajaan pertimbang darurat di DUN Bugaya, Parlimen Gerik

Kerajaan pertimbang darurat di DUN Bugaya, Parlimen Gerik

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kerajaan akan mempertimbangkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah bagi mengisytiharkan darurat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan PRK Parlimen Gerik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata, pelaksanaan itu akan dibuat sepertimana perisytiharan darurat di PRK DUN Batu Sapi berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Sesungguhnya kerjaaan pada hari ini telah sedaya upaya membendung COVID-19 di negara ini. Atas sebab itulah berpandukan kepada Perkara 150, Jemaah Menteri memutuskan untuk mengarahkan Perdana Menteri menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk mengisytiharkan sebahagian daripada Persekutuan iaitu Parlimen Batu Sapi supaya diisytiharkan darurat,

“Tindakan yang sama juga akan dipertimbangkan dan dilaksanakan bagi DUN Bugaya dan Gerik sekiranya berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara ianya berlandasakan sebegaimana di Batu Sapi,

“Antara masalah di Batu Sapi ialah didapati garis panduan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh MKN kemungkinan besar tidak dapat dipatuhi dengan sepenuhnya,” kata Takiyuddin dalam sisi Waktu Pertanyaan Menteri-Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertanya, sama ada kerajaan bercadang untuk menasihati Yang Dipertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik seperti di PRK Parlimen Batu Sapi.

Selain itu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan juga perlu melaksanakan penangguhan PRK disebabkan kekangan petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan KKM kerana ramai antara mereka amat takut untuk bertugas disebabkan gelombang COVID-19 yang sedang meningkat.

“Pelantikan petugas pilihan raya sehingga 6 November daripada sepatutnya 837 orang petugas SPR hanya 143 orang sahaja yang sanggup bertugas,

“Begitu juga KKM memaklumkan kekangan untuk sediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengudi-pengundi di Batu Sapi yang berjumlah lebih daripada 32,000 orang,

“Atas dasar itu, kerajaan berpendapat pengisyitiharan darurat amat sangat tepat dan langkah yang diambil oleh Seri Paduka Baginda amat bertepatan dengan Perlembagaan dan ia bukan sesekali satu tindakan yang bercanggah dengan amalan demokrasi,” tambahnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply