Home Semasa Paksa pekerja warga asing pakai gelang identiti sama seperti Nazisme – Lawyers for Liberty

Paksa pekerja warga asing pakai gelang identiti sama seperti Nazisme – Lawyers for Liberty

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Koordinator Lawyers for Liberty, Zaid Malek hari ini menegaskan hasrat kerajaan untuk mewajibkan pemakaian gelang di kalangan pekerja asing merupakan satu penindasan dan bersikap perkauman.

Zaid dalam satu kenyataan berkata, cadangan penggunaan gelang terhadap pekerja asing bagi memudahkan pihak berkuasa untuk mengenalpasti mereka merupakan satu cadangan yang membimbangkan.

“Cadangan ini secara tidak langsung menunjukkan kerajaan telah membenarkan profil prasangka (prejudicial profiling) dengan menggunakan alasan membendung wabak COVID-19,

“Pemakaian gelang sebagai tanda pengenalan secara paksa kepada golongan ini secara tidak langsung menimbulkan kembali igauan ngeri Nazisme,” katanya.

Beliau menambah, penggunaan gelang tersebut secara tidak langsung menyebabkan para pekerja asing menjadi sasaran mudah untuk diganggu oleh berkuasa.

“Selain itu, mereka turut menjadi sasaran dengan diskriminasi oleh masyarakat umum,

“Kerajaan turut dilihat meniupkan tingkah laku xenofobia dengan mewar-warkan bahawa para pendatang asing adalah penyebab peningkatan jangkitan COVID-19,

“Mereka tidak boleh disalahkan sebagai punca penularan wabak pandemik di seluruh dunia,” tegasnya.

Beliau menambah, tiada alasan yang munasabah kepada pihak kerajaan untuk memaksa pekerja asing memakai gelang tangan identiti.

“Tidak ada data yang menunjukkan bahawa jangkitan Covid-19 berasal dari pekerja migran,

“Menteri Kanan Keselamatan sendiri mengakui penyebaran penyakit di kalangan pekerja asing adalah berpunca dari keadaan sempit tempat tinggal mereka,” ujarnya.

Menurut Zaid, kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada tindakan undang-undang terhadap majikan atau ejen yang memaksa pekerja asing tinggal di dalam rumah yang sesak.

Pada masa yang sama, beliau mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan kepada golongan majikan serta ejen yang bertanggungjawab terhadap penularan COVID-19 di kalangan warga asing.

“Pihak berkuasa juga patut dipersalahkan kerana mereka membiarkan perkara ini berlarutan saban tahun,” tegas Zaid.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri menyatakan kerajaan akan mempertimbangkan penggunaan gelang secara wajib kepada pekerja warga asing bagi memudahkan mereka dikesan sekiranya keluar dari kawasan yang mempunyai kes jangkitan COVID-19.

Menurut beliau, cadangan tersebut belum diputuskan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara, esok. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply