Home PolitikPakatan Harapan Tun M cuba gagalkan usaha PH untuk jadi kerajaan semula – PKR

Tun M cuba gagalkan usaha PH untuk jadi kerajaan semula – PKR

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cuba untuk mengkhianti serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan semula kerajaan.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kenyataan terkini Tun Mahathir menggambarkan bahawa beliau terdesak untuk dilihat relevan dalam arus politik perdana.

“Serangan beliau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas dan boleh disifatkan sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) mendapatkan semula kerajaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Menurut Shamsul Iskandar, ketidakstabilan politik yang berlaku pada hari ini disebabkan tindakan Tun Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Kita semua sedia maklum akan kegagalan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan Agenda Reformasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat sepanjang 22 bulan PH memerintah negara,

“Tindakan Tun Mahathir yang meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH adalah punca kejatuhan kerajaan seterusnya memangkin rampasan kuasa secara khianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan pimpinan Bersatu,” ujarnya.

Beliau berkata, Tun Mahathir perlu menghentikan tindakanya yang kini dilihat sebagai langkah untuk memecahbelahkan PH ketika Anwar dan pimpinan sedang menggembleng sokongan pelbagai pihak untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas.

“Tun Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini berpunca dari tindakan beliau sendiri,

“Beliau seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu usaha Anwar dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan bukan menggagalkannya,” katanya.

Shamsul berkata demikian susulan kenyataan Tun Mahathir dalam wawancara dengan sebuah portal berita yang diterbitkan hari ini menyatakan bahawa Anwar bukan orang yang tepat untuk menjadi Perdana Menteri jika berlakunya krisis kewangan seperti tahun 1997.

Dalam wawancara tersebut, Tun Mahathir mempersoalkan penilaian Anwar dalam menangani krisis kewangan Asia 1997 yang menurutnya mahu mengikut langkah yang disarankan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Saya pernah berkata kepadanya kalau kita ikut mereka, negara mungkin tidak akan ada dana yang cukup untuk membayar gaji, tetapi dia masih terus dengan pendiriannya menyokong IMF dan Bank Dunia.

“Sebab itu saya terpaksa ambil alih kerajaan daripada menteri kewangan dan merancangkan pendekatan untuk memulih semula negara kita,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply