Home Semasa 9 mukim Seremban dikenakan PKPB mulai Khamis ini

9 mukim Seremban dikenakan PKPB mulai Khamis ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikenakan di Seremban, Negeri Sembilan mulai 5 hingga 18 November 2020 ekoran peningkatan kes positif baharu COVID-19 di daerah tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dan ia telah diputuskan oleh dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.

Beliau berkata, PKPB tersebut akan melibatkan 9 mukim di Seremban iaitu Ampangan, Bandar Seremban. Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPB ini sama seperti SOP yang dilaksanakan di lain-lain kawasan Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah,

“Ini termasuklah mendapatkan kebenaran polis untuk perjalanan antara negeri dan surat perlepasan majikan untuk bekerja,”katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Tambahnya lagi, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz akan ditutup sepanjang pelaksanaan PKPB.

“Semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan Azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri,” tambahnya.

Sebelum itu, Ismail Sabri turut menjelaskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Zon Utara dan Zon Selatan akan ditamatkan pada 4 November 2020 seperti mana dijadualkan.

Ismail berkata, Penjara Zon Utara melibatkan Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting Perak dan Penjara Tapah.

Bagi Zon Selangor pula, ia melibatkan Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.

Beliau turut berkata, PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang selama 14 hari lagi bermula 5 November sehingga 18 November 2020. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply