KUALA LUMPUR, 3 Nov – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan 3 lagi anggota Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 November lalu.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan tersebut adalah selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
Tiga pelantikan itu adalah Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.
“Pelantikan ini melengkapkan barisan EAIC sedia ada yang diterajui oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Pengerusi, Tan Sri Zainun Ali (Timbalan Pengerusi), Datuk John Louis O’hara dan Profesor Dr Nik Ahmad Nik Mahmood sebagai anggota EAIC,
“Barisan EAIC ini pasti akan terus memacu matlamat dan komitmen EAIC memartabatkan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan selian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – airtimes.my