Home Semasa COVID-19: Angka kes kematian tertinggi direkodkan

COVID-19: Angka kes kematian tertinggi direkodkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 12 kes kematian akibat pandemik COVID-19, sekaligus mencatatkan kes harian tertinggi di negara ini semenjak wabak berkenaan melanda dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes kematian yang direkodkan hari ini dicatatkan di Sabah.

Kes kematian tersebut, melibatkan 4 individu bukan warganegara dan 8 warganegara Malaysia.

Terdahulu, Dr Noor Hisham mengesahkan, sebanyak 1,054 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini yang melibatkan 14 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Negeri Sabah mencatatkan jumlah sebanyak 678 kes daripada keseluruhan kes positif harian. Sebanyak 310 kes berkaitan kluster-kluster penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan Kluster Rumah Merah menyumbang sebanyak 229 kes,

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 150 kes daripada jumlah keseluruhan kes. Manakala, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan pula mencatatkan 81 kes positif pada hari ini,

“Kelima-lima negeri ini telah menyumbang sebanyak 909 kes secara keseluruhan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, pada hari ini.

Terdapat 94 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, sebanyak 875 kes telah pulih sepenuhnya serta 2 kluster baharu wabak berkanaan dikesan pada hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 34,393 kes telah disahkan mengidap wabak pandemik yang boleh membawa maut itu.

Jumlah keseluruhan pesakit sembuh pula adalah sebanyak 23,995 kes dan bilangan kematian telah meningkat kepada 263 kes. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply