Home Semasa Kapal hanyut langgar pelantar minyak, seorang pekerja maut

Kapal hanyut langgar pelantar minyak, seorang pekerja maut

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Seorang pekerja dilaporkan maut apabila sebuah platform minyak di Miri mengalami kerosakan teruk apabila sebuah kapal penyelenggaran, Dayang Topaz hanyut akibat terputus kabel sauh.

Menurut Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, kejadian berlaku seawal pukul 6.45 pagi tadi.

“Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC Putrajaya) telah menerima aduan dari kapal Sapura Construction melaporkan kapal telah menerima isyarat kecemasan dari kapal Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri.

“Kapal Sapura Construction telah bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar kapal Dayang Topaz yang dilaporkan kapal terbabit mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru lagi telah terjun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, seramai 121 kru berjaya diselamatkan, seorang meninggal dunia dan empat lagi masih belum ditemui.

“Aset-aset bantuan telah segera bergerak ke lokasi yang merangkumi tiga kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia di Miri bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell,” ujarnya.

Menurut Zubil, kejadian disyaki berpunca daripada salah satu kabel sauh kapal Dayang Topaz di terputus ekoran daripada cuaca buruk.

“Kapal tidak dapat dikawal lantas hanyut melanggar platform pelantar Minyak Baram B,” jelasnya lagi.

Sementara itu, operasi mencari mangsa yang hilang masih diteruskan dalam keadaan cuaca buruk.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menghantar KM Siakap dan Bot Penggalang 23 ke lokasi kejadian.

Keadaan laut dilaporkan masih bergelora dengan ombak setinggi 3.5 ke 4 meter.

Dayang Topaz merupakan kapal penyelenggaraan yang mempunyai berat sebanyak 3528 tan. Panjang kapal ini ialah 80.4 meter dan mempunyai lebar 22 meter. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply