Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Eks Paradise: Latihan COVID-19 Extraction uji kecekapan, keupayaan TUDM

Eks Paradise: Latihan COVID-19 Extraction uji kecekapan, keupayaan TUDM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan latihan ‘COVID-19 Extraction’ dalam Eksesais Paradise siri 7/20 bagi menangani kes-kes di luar jangkaan terutama ketika menghadapi penularan wabak pandemik COVID-19.

Latihan ini dilaksanakan dengan menggunakan peralatan perlindungan diri (personal equipment protection (PPE)) lengkap serta mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan, sekaligus menjadi SOP norma baharu yang boleh digunakan bagi kesiagaan dan kompetensi anggota serta aset TUDM.

Semasa pelaksanaan latihan ini, Helikopter EC 725 AP telah diaturgerakan bagi melaksanakan evakuasi anggota TUDM yang telah disahkan positif COVID-19 dan mengalami kecerderaan semasa menjalani latihan di kawasan zon merah.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM berkata, Eksesais Paradise ini bertujuan untuk meningkatkan tahap integrasi antara pelbagai elemen termasuk pesawat pejuang, pesawat pengangkut, helikopter dan elemen Pasukan Khas Udara.

Beliau berkata, antara latihan-latihan yang dilaksanakan adalah merangkumi dan menjurus kepada peranan TUDM iaitu Air and Surface Control (ASC), Force Application (FA), Intelligence and Situational Awareness (ISA), Force Enhancement (FE), Force Sustainment (FS) dan termasuk Air to Air Refuelling (AAR), Force Down Procedure dan Container Delivery System (CDS), selaras dengan doktrin kontemporari yang digunapakai oleh TUDM.

“Tujuan utama eksesais ini ialah untuk memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan TUDM sentiasa berada di tahap yang terbaik khususnya bagi melindungi kedaulatan ruang udara negara,

“Objektif eksesais ini adalah untuk meningkatkan tahap pengendalian dalam menjalankan operasi berjaya dicapai iaitu menilai kesediaan pertempuran, meningkatkan tahap saling kendali di dalam menjalankan operasi, menilai kemahiran dan kecekapan pegawai, anggota dan tahap keberkesanan peralatan, sistem serta persenjataan TUDM,

“Secara tidak langsung eksesais ini dapat meningkatkan kredibiliti serta keyakinan rakyat dan negara kepada TUDM di dalam mengendalikan isu-isu di sempadan maritim negara,” katanya.

Ackbal berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup Eksesais Paradise 7/20 secara persidangan video dari Markas Tentera Udara ke markas-markas wilayah, pangkalan-pangkalan udara utama dan unit-unit TUDM, hari ini.

Eksesais Paradise yang bermula pada 12 Oktober lalu melibatkan seramai 700 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) serta 20 buah aset serta elemen sokongan dari TUDM.

Latihan ini hanya melibatkan elemen TUDM tanpa sebarang penglibatan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berikutan penularan pandemik COVID-19. – airtimes.my

Geleri Gambar: Foto TUDM

Related Articles

Leave a Reply