BERMULA dengan pembentukan Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini terus berkembang dengan peningkatan jumlah anggota dalam pelbagai kepakaran dan pertambahan aset penting.
Kini tanggungjawab dan peranan TLDM bertambah seiring dengan cabaran dalam menangani ancaman pelbagai dimensi.
Sehubungan itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, berpandukan situasi geo-strategik dan politik dunia termasuk di rantau ini, menuntut TLDM dibekalkan dengan aset-aset terkini sesuai dengan perubahan landskap pertahanan masa kini.
“Tercetusnya satu persatu krisis luar jangkaan seperti perang antara Ukraine dan Rusia, ketegangan China dan Taiwan serta pertembungan secara berterusan kuasa besar di Laut China Selatan menuntut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempersiapkan diri sewajarnya,
“Landskap pertahanan yang telah berubah dan semakin mencabar ini menuntut agar pertahanan negara diperlengkapkan dengan sewajarnya,
“Justeru, sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah perairan negara, adalah penting untuk TLDM dibekalkan dengan aset-aset terkini sesuai dengan perubahan landskap pertahanan mutakhir ini,” katanya dalam Perutusan Hari TLDM ke-89 Tahun 2023 di Pangkalan TLDM Lumut, pada Khamis.
Abdul Rahman berkata, dengan mengambil kira keupayaan tempur armada yang semakin terhakis akibat usia aset meningkat dan cabaran menyelenggara aset sedia ada, ia memberi kesan terhadap rancangan atur gerak serta pengoperasian pasukan keselamatan negara itu.
Tegasnya, Kementerian Pertahanan dan pihaknya kini sedang giat berusaha untuk memperkasakan keupayaan dan meningkatkan infrastruktur melalui inisiatif-inisiatif yang telah dirancang.
“Kerajaan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah membuat keputusan meneruskan projek pembinaan Littoral Combat Ship (LCS) dan meluluskan perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2,
“Mengikut perancangan, kapal LCS pertama dijangka mula beroperasi pada tahun 2026, manakala kapal LMS Batch 2 pada tahun 2027,
“Sesungguhnya, kelulusan untuk menggerakkan projek-projek ini telah menyuntik semangat baharu dan meningkatkan moral segenap warga TLDM,” tambahnya lagi.
Selian itu, beliau berkata, TLDM telah melaksanakan program baik pulih sementara menunggu penggantian aset baharu melalui inisiatif Obsolescence dan Repowering Programme.
Jelasnya, inisiatif ini dilihat sebagai solusi sementara yang paling sesuai dan telahpun memberikan impak positif.
“Contoh terbaik adalah Obsolescence Programme KD PERKASA yang telah selesai pada 22 Mac 2023 lalu dan mampu memanjangkan jangka hayat kapal. Inisiatif smart refit pula berjaya memendekkan tempoh masa rutin pasang pulih kapal,
“Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak boleh berterusan dan mempunyai jangka hayat tertentu. Oleh sebab itu, penggantian aset TLDM tetap menjadi keutamaan dan perlu diteruskan,” ujarnya.
Semalam, Abdul Rahman telah menyaksikan Istiadat Perbarisan Hari TLDM Ke-89 yang melibatkan seramai 61 orang pegawai dan 812 anggota diketuai oleh Komander Lim Kim Tat TLDM.
Perbarisan kali ini juga telah melakar sejarah tersendiri kerana buat julung kalinya 8 Panji-Panji Regimen TLDM iaitu KD PELANDOK, KD MALAYA, KD PANGLIMA HITAM, KD SRI SANDAKAN, KD RAJAWALI, KD SRI SEMPORNA, KD DUYONG dan Skuadron Frigate Ke-23 telah diarak bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari TLDM Ke-89.
Bersesuaian dengan tema sambutan HUT kali ini ‘TLDM Siaga, Kedaulatan Terpelihara’, pameran statik aset pertahanan dan sokongan turut diadakan di Padang Kawad KD PELANDOK.
Aset-aset pameran statik itu merangkumi dua buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) dari Skuadron 503 Kota Kinabalu, Sabah, 2 buah Loader, sebuah lori Bomba TLDM, 2 buah motor scrambler dan 2 buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Pasukan Khas Laut (PASKAL). -airtimes.my
Galeri gambar: