Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Latihan Kuasa Tembakan: Tentera Darat pamer 160 aset, perkasa keupayaan persenjataan dan kompetensi anggota

Latihan Kuasa Tembakan: Tentera Darat pamer 160 aset, perkasa keupayaan persenjataan dan kompetensi anggota

by Nurulhuda

GEMAS, 15 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) mempamerkan keupayaan ketumbukan Combine Arms menerusi Latihan Kuasa Tembakan (LKT) Tahun 2021 yang diadakan di Lapang Sasar Asahan, Kem Sirajuddin, semalam.

Latihan yang berlangsung hampir 3 jam ini telah melibatkan seramai hampir 1,000 anggota termasuk pegawai dan disokong 106 aset seperti kereta kebal Pendekar, kereta perisai Gempita, Lipan Bara, Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).

Manakala aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGW) Ingwe, Baktar Shikan, Mortar 120 MM dan 81MM dan Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).

Selain itu, turut dilibatkan adalah Persenjataan Kompeni (Colt M4, Minimi, M203, GPMG), Persenjataan Bantuan Kompeni (RPG-7, Mortar 60 MM) dan Senjata Batalion – Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL).

Manakala pesawat yang terlibat melibatkan Helicopter Super Lynx dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dipasang dengan persenjataan HMG dan Helicopter Agusta A109 LOH bersama Gatling Gun dari Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

TDM berkata, latihan yang diadakan ini turut menguji pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan memperagakan kompetensi anggota yang terlibat dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup.

“Ia juga diadakan sebagai memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) yang telah dipertontonkan kepada mereka pada 12 Oktober 2021 yang lalu,” jelas TDM.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM turut hadir bagi menyaksikan LKT pada kali ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Affendi berkata, latihan ini turut mempamerkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menggalas tugas utama iaitu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Pada masa yang sama, keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan rakyat bahawa kesiagaan ATM dalam melaksanakan tugas utama tidak terjejas walaupun tumpuan semasa diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder iaitu membantu negara menangani penularan wabak COVID-19,

“Jika keupayaan yang dipertontonkan pada Hari ATM ke-88 di Kem Segenting pada 22 September lalu adalah menggerunkan, tambahan penyatuan kuasa tembakan yang diperagakan memperlihatkan keupayaan serta kredibiliti sebenar ATM dalam memastikan kedaulatan negara ini sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Beliau berkata, ATM akan terus memperkukuhkan pembangunan modal insan dan kompetensi melalui kelangsungan pelbagai kursus serta latihan ketenteraan yang dirancang.

“Ini kerana, ia adalah pelaburan berterusan bagi memastikan pemerkasaan keupayaan dalam pengendalian pelbagai peralatan dan persenjataan berteknologi tinggi,

“ATM kini mempunyai perancangan strategik dalam meningkatkan keupayaan pertahanan namun apa yang lebih penting adalah untuk menentukan sokongan operasi bagi aset pertahanan bakal diperoleh pada masa hadapan,

“Tadbir urus terbaik adalah penting di segenap aspek termasuklah dokongan logistik yang terkesan dan pembangunan modal insan yang kompeten,” tambahnya. -airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply