PUTRAJAYA, 4 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan sebanyak 293 kes jangkitan baharu COVID-19 dikesan di dalam negara.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 1 kes merupakan kes import manakala 292 kes adalah penularan temapatan.
Selain itu, 30 kes melibatkan individu yang pernah berkunjung ke Sabah.
“Jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 206 kes,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Sabah menjadi negeri tertinggi yang mencatatkan kes baharu iaitu sebanyak 126. Di Kedah, Kluster Tembok telah mencatatkan 112 kes baharu sementara kluster Bah Rose 1 kes.
Pada masa yang sama, KKM turut mengesahkan kewujudan 2 kluster baharu iaitu Kluster Kau Sing di Sabah dan Kluster Embun di Selangor.
“Kluster Kau Sing dikenal pasti di Tawau, Sabah manakala Kluster Embun di Hulu Langat, Selangor,” jelas Noor Hisham.
Selain itu, beliau mengesahkan seramai 67 pesakit telah disahkan sembuh manakala tiada kes kematian direkodkan sehingga tengah hari 4 Oktober.
Sehingga kini, seramai 12,381 pesakit di negara ini disahkan dijangkiti oleh wabak yang boleh membawa maut itu dengan 10,283 daripadanya pulih.
Angka kematian pula kekal 137 kes. – airtimes.my