Home Politik Angin perubahan Negeri Di Bawah Bayu, GRS raih majoriti mudah PRN Sabah

Angin perubahan Negeri Di Bawah Bayu, GRS raih majoriti mudah PRN Sabah

by M.Daim

KOTA KINABALU, 27 Sept – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16.

GRS merupakan pakatan baharu dibentuk pada pertengahan September lalu telah berjaya memenangi 38 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam keputusan rasmi yang dibacakan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional telah memenangi 17 kerusi sementara Barisan Nasional 14 kerusi dan PBS 7 kerusi.

Sementara itu, Warisan PLUS berjaya memenangi 32 kerusi dengan Warisan berjaya memperolehi 29 kerusi, PKR 2 dan UPKO 1.

6 daripada kerusi yang dimenangi oleh Warisan adalah dari calon DAP yang bertanding di bawah tiket parti itu.

Keputusan rasmi telah disampaikan oleh Abdul Ghani pada pukul 12.30 tengah malam.

Sementara itu, calon Bebas hanya memenangi 3 kerusi manakala Parti Cinta Sabah pimpinan Datuk Seri Anifah Aman gagal memperolehi sebarang kerusi.

Pengerusi SPR turut menyatakan seramai 749,083 pengundi daripada 1,124,598 pemilih berdaftar telah menunaikan tanggungjawab membuang undi pada PRN kali ini.

“Peratusan keluar mengundi adalah 66.61 peratus. Jumlah tersebut meliputi pengundi biasa, pengundi awal, dan pengundi pos yang menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau menambah, PRN Sabah pada kali ini tidak berlaku sebarang insiden yang boleh menjejaskan proses pilihan raya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply