Home Semasa 5 murid sekolah rendah di Kedah positif COVID-19

5 murid sekolah rendah di Kedah positif COVID-19

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 25 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 5 kes baharu COVID-19 membabitkan murid sekolah rendah yang dikesan dalam Kluster Tawar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan penambahan 5 murid berkenaan, ia menjadikan kluster tersebut telah mencatatkan sebanyak 70 kes.

Beliau berkata 5 pelajar itu dikesan melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes positif bagi kluster berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mereka ialah kontak rapat kepada kes ke 9,197 yang merupakan seorang pelajar pra-sekolah yang dilaporkan pada 16 Ogos lalu,

“Sehingga kini, seramai 3,547 individu sudah disaring dalam kluster berkenaan membabitkan 3 negeri iaitu di Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” katanya semasa sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham juga menjelaskan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 2 daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

“Dua kes import itu masing-masing dari Filipina dan Indonesia,” tambahnya.

Manakala, 4 lagi kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia adalah masing-masaing satu kes dikesan saringan pra pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim yang telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, kes saringan bergejala dan kes dalam siasatan iaitu beliau yang tidak bergejala serta telah dimasukan ke Hospital Sungai Buloh.

“Dan satu kes lagi adalah kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Tuanku Fauziah,” katanya.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply