Home Politik Parti baharu: Tun M sebagai pengerusi, Mukhriz presiden

Parti baharu: Tun M sebagai pengerusi, Mukhriz presiden

by Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Ogos  – Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Dr Mahathir berkata asas perjuangan parti yang belum diberi nama itu masih mengekalkan dasar asal Bersatu yang diasaskannya bersama sebelum ini, iaitu menghapuskan rasuah dan kleptokrasi.

“Kami sedar Malaysia sudah ada banyak parti politik terutama dalam kalangan orang Melayu. Bukanlah niat kami untuk menambah kepada bilangan yang sudah ada. Tetapi kami menghadapi masalah luar biasa.

“Parti ini akan bersifat inklusif dan moderat, dan akan memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang pada janji dan tidak menolak kerjasama yang ikhlas dan berprinsip,” katanya dalam sidang media khas pengumuman penubuhan parti itu di sini semalam.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata parti tersebut akan memastikan rakyat Malaysia dari kaum-kaum lain akan mendapat pembelaan dan layanan yang sewajarnya.

Dr Mahathir berkata parti itu akan dipimpin oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai presiden dan beliau sebagai pengerusi.

Bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu berkata parti tersebut bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim pada 29 Ogos ini atas tiket bebas.

Mengenai Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau berkata parti itu belum membuat sebarang keputusan namun menyatakan bahawa ia mempunyai hubungan baik dengan Parti Warisan Sabah.

Dr Mahathir berkata pihaknya akan mendaftarkan parti itu dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin dan beliau berharap proses tersebut akan berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan.

Kepada soalan sama ada parti baharu itu akan menerima bukan Melayu atau bukan bumiputera sebagai ahli, Dr Mahathir berkata pihaknya belum memutuskan perkara tersebut.

Beliau berkata meskipun parti baharu itu adalah sebuah berasaskan orang Melayu, ia akan turut menjaga kepentingan bukan Melayu.

Sejurus selepas sidang media itu, Dr Mahathir yang diiringi Mukhriz bergegas ke sebuah hotel di Bangsar bagi menghadiri program untuk penyokong mereka bagi menjelaskan mengenai penubuhan parti baharu tersebut. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!