Home Semasa Sila hentikan tindakan ke atas wartawan, warga Bangladesh fitnah kerajaan – Zaid Malek

Sila hentikan tindakan ke atas wartawan, warga Bangladesh fitnah kerajaan – Zaid Malek

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kumpulan peguam hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menggesa kerajaan untuk menghentikan sebarang tindakan terhadap seorang warga Bangladesh, Rayhan Kabir yang telah mengeluarkan kenyataan dalam dokumentari terbitan Al Jazeera.

Penyelaras LFL, Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata, tindakan terhadap idnvidu terbabit adalah sesuatu yang mengecewakan dan tidak boleh diterima.

“Notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mendedahkan nama dan alamat individu terbabit yang secara tidak langsung merbahayakan keselamatannya,” tegas Zaid.

Menurut beliau, individu tersebut kini menjadi sasaran tohmahan dan serangan bersifat perkauman oleh sesetengah golongan masyarakat hanya kerana mengkritik tindakan kerajaan.

“Perlu diingatkan bahawa individu tersebut bimbang akan keadaan kawannya yang telah ditahan dalam depot tahanan tanpa sebab munasabah,

“Rakannya yang merupakan seorang pelancong India, Zeawdeen Kadar Masdan dilaporkan maut pada 12 Jun lalu selepas dijangkiti COVID-19 semasa berada ditahan di Depot Tahanan Imigresen,

“Oleh itu, tindakan terhadap beliau adalah tidak boleh diterima. Kami gesa pihak kerajaan untuk hentikan sebarang tuduhan jenayah terhadap warga Bangladesh tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, Zaid menegaskan kandungan laporan “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” menerusi program 101 East hanyalah bersifat kritikan dan menyampaikan beberapa isu yang pernah diutarakan oleh beberapa pertubuhan sebelum ini.

“Kami telah memeriksa keseluruhan dokumentari dan mendapati ianya tidak mempunyai sebarang unsur yang membolehkan kerajaan melakukan siasatan jenayah,

“Apa yang disampaikan dalam dokumentari tersebut bukanlah baharu kerana isu yang diutarakan adalah sama seperti yang disuarakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengenai penahanan warga asing,” jelas Zaid.

Beliau menambah, kerajaan hanya perlu mengeluarkan kenyataan untuk memperbetulkan laporan yang tidak tepat.

“Sekiranya terdapat laporan yang tidak tepat, kerajaan hanya perlu keluarkan kenyataan untuk menafikan maklumat tersebut,

“Sebaliknya, kerajaan mengambil tindakan untuk menutup mulut mana-mana pihak yang mengkritik penahanan besar-besaran terhadap migran,” katanya.

Menurut beliau, seorang wartawan telah disiasat Seksyen 504 Kanun dan  Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kenyataannya di media sosial yang menyentuh penahanan warga asing di Selangor Mansion.

“Tindakan balas yang berat terhadap kritikan yang dilakukan adalah mengancam kebebasan akhbar. Kebebasan ini adalah penting dalam masyarakat demokrasi,

“Kebebasan ini adalah selari dengan kebebasan bersuara seperti mana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, ianya perlu ditegakkan dan dipertahankan,” ujarnya.

Dokumentari terbitan Al Jazeera telah menimbulkan kemarahan masyarakat Malaysia apabila rancangan terbabit telah menyifatkan tindakan kerajaan menahan PATI sebagai tidak berperikemanusiaan.

Semalam, polis telah mengesahkan media antarabangsa itu telah disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, JIM telah mengeluarkan hebahan kepada masyarakat untuk mencari Rayhan Kabir.

Related Articles

Leave a Reply