Home Semasa Syukur! Saya bebas 46 tuduhan rasuah dan gubahan wang haram – Musa Aman

Syukur! Saya bebas 46 tuduhan rasuah dan gubahan wang haram – Musa Aman

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan dari 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Kesemua pertuduhan kes adalah melibatkan kontrak konsesi balak di Sabah.

“Sesungguhnya Allah Maha Adil dan janjiNya itu benar dan pasti bagi hambanya yang sabar,” kata Musa.

Beliau hari ini melahirkan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskannya dari kesemua pertuduhan itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana akhirnya dengan izin Tuhan saya diberikan keadilan untuk membersihkan segala tuduhan yang sekian lama dibuat ke atas diri saya,

“Permohonan untuk membatalkan pendakwaan yang telah difailkan awal tahun ini dibuat dengan cukup teliti serta disokong keterangan dan dokumen bukti yang jelas dan nyata yang tidak dapat dipertikaikan,

“Terima kasih kepada barisan peguam saya bersama pembantu mereka yang telah memberi perkhidmatan yang cukup baik dan berdedikasi sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada badan pendakwaan dan badan kehakiman negara terutamanya mereka yang telah bertindak secara objektif, profesional, berkecuali dan tanpa prejudis didalam menilai fakta kes ini sejak 2 tahun yang lalu.

“Apa yang telah berlaku kepada saya dan keluarga, biarpun dilihat terjadi kerana perbezaan politik, saya anggap sebagai ujian dan dugaan Tuhan buat kami sekeluarga,” ujarnya.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Sebelum ini, Musa telah memfailkan permohonan untuk membatalkan kesemua pertuduhan yang dihadapinya pada 12 Februari lepas.

Bagi kes rasuah, beliau menghadapi 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah US$50.1 juta.

Beliau juga menghadapi 16 pertuduhan iaitu secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram daripada beberapa individu. – airtimes.my

 

Related Articles

1 comment

humanityglobal 9 June 2020 - 2:10 pm

God is Great! At last justice is done to him. He is a very free and he can breathe the fresh air now and go for holidays to look for peace and solace for his grieving heart. Hope the same will happen to other innocent politicians of the Najib era. PH used this dirty tactic to show they are most perfect politicians. I pray that truth will prevail at the end. If you are good and sincere, God will eventually help you.

Reply

Leave a Reply