KUALA LUMPUR, 10 Apr – Syarikat korporat hari ini menyumbangkan Personal Protective Equipment (PPE) iaitu 500 unit pelindung muka (face visor) dan 10,000 topeng muka kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di barisan hadapan dalam melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19.
Sumbangan telah disampaikan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan China Shipbuilding Trading Co. Ltd (CSSC) kepada Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin yang mewakili Panglima Angkatan Tentera.
MRCB telah menyumbangkan sebanyak 500 unit pelindung muka, manakala CSSC menyumbangkan 10,000 topeng muka di Wisma Pertahanan hari ini.
Menurut Ketua Staf Markas ATM, PPE ini akan diserahkan kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) dan yang membuat rondaan bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bantuan yang ada ini kita (ATM) dapat berikan kepada petugas-petugas, dan kita yakin dengan bantuan yang diberikan ini tiada kekurangan,
“Dengan bantuan yang diberikan akan dapat memberi semangat dan meningkatkan moral anggota supaya mereka yakin untuk berkerja dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan itu.
Manakala Naib Presiden MRCB, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan berkata sumbangan pelindung muka ini untuk keguanaan anggota ATM yang bertugas dibarisan hadapan di SJR bersama dengan PDRM.
“MRCB juga telah menyumbangkan 500 unit pelindung muka kepada PDRM dan ia merupakan sumbangan peringkat pertama,
“Sekiranya jika ada permintaan lagi, MRCB akan menambah dan menyumbangkan lagi,” katanya.
Menurutnya, setakat ini sumbangan itu telah diberikan kepada ATM, PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk Dr Mohd Amin Muslan dan Tan Hsiang Lock dari syarikat CSSC.
Galeri Gambar: