Home Semasa Malaysia negara paling patuh bendung penularan COVID-19 di rantau ASEAN

Malaysia negara paling patuh bendung penularan COVID-19 di rantau ASEAN

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 April – Statistik pergerakan komuniti yang dikeluarkan oleh Google menunjukkan Malaysia merupakan negara paling mematuhi langkah membendung penularan wabak COVID-19.

Syarikat gergasi teknologi dan internet, Google hari ini telah mengeluarkan laporan statistik terkini berdasarkan data terkumpul pada 29 Mac lalu.

Statistik yang dikeluarkan oleh Google menunjukkan bilangan rakyat Malaysia berada di rumah semasa menghadapi penularan wabak COVID-19 meningkat sebanyak 31% dan merupakan jumlah tertinggi di rantau ASEAN.

Filipina mencatatkan peningkatan bilangan pengguna berada di rumah sebanyak 23% manakala Indonesia, Singapura, Thailand serta Vietnam pula mencatatkan bilangan pada sekitar 15% ke 16%.

Selain daripada itu, bilangan kunjungan ke pusat membeli belah dan hiburan di Malaysia turun secara mendadak iaitu 81% daripada kebiasaan. Trend yang sama turut dilihat pada bilangan kunjungan ke taman rekreasi pula menurun sebanyak 68%

Pada masa yang sama, bilangan pergerakan ke tempat kerja telah menurun sebanyak 52% manakala penggunaan sistem transit serta kemudahan kenderaan awam turut mendadak sebanyak 83 %.

Sementara itu, kadar kunjungan ke pasar dan farmasi juga menurun sebanyak 58%.

Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan semenjak 18 Mac lalu dan dijangka akan berakhir pada 15 April ini.

Sementara itu, pihak Google dalam satu kenyataan berkata, statistik yang dikeluarkan adalah bagi membantu pihak berkuasa di seluruh dunia untuk membasmi penularan wabak COVID-19.

“Laporan yang dikeluarkan adalah memberi gambaran respon pengguna terhadap penguatkuasaan polisi bagi membendung penularan COVID-19. Namun begitu, data yang dikeluarkan adalah dalam bentuk peratus dan bukan bentuk angka sebenar,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, data terkumpul adalah berdasarkan isyarat lokasi peranti pengguna Google. Pengiraan adalah berdasarkan perubahan data berbanding jumlah harian yang dikumpul.

Pihak Google turut menegaskan data yang dikumpul tidak melanggar privasi mana-mana pengguna.

“Pihak kami tidak mengeluarkan data peringkat individu termasuk identiti dan pergerakan seharian mereka. Data yang dikumpul adalah bersifat anonim dan kami berpegang teguh kepada polisi serta protokol privasi pengguna,

“Data yang dikumpul adalah berdasarkan pancaran tanda lokasi yang dipasang oleh pengguna. Tetapan kemudahan ini pada asalnya ditutup dan hanya boleh dipasang oleh pengguna sendiri,” tegas Google.

Laporan yang disiarkan oleh Google adalah merangkumi 131 buah negara.

Related Articles

Leave a Reply