Home Semasa Tiada bazar Ramadhan selagi PKP dilaksanakan

Tiada bazar Ramadhan selagi PKP dilaksanakan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Apr – Tiada penganjuran bazar Ramadhan di seluruh negeri selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat oleh kerajaan melalui mesyuarat yang diadakan hari ini bagi memastikan rantaian wabak berkenaan diputuskan dan kes jangkitan ini dapat dikawal sepenuhnya.

“Jika PKP ini ditamatkan, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) selepas PKP,

“Maka, soal sama ada bazar Ramadhan dapat dilaksanakan atau tidak, akan ditentukan kemudian (menerusi SOP baharu dikeluarkan MKN),

“Selagi PKP fasa dua diteruskan, bazar Ramadhan tidak akan dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri menjelaskan kerajaan memberikan kelonggaran khusus buat rakyat Malaysia untuk keluar dari radius 10 kilometer, yang telah ditetapkan.

Menurut Ismail Sabri, hal ini dibuat berikutan, terdapat segelintir penduduk yang berdepan kesukaran untuk ke hospital dan kedai yang berada diluar radius 10 kilometer.

“Memang kita tahu undang-undang tidak boleh terlalu spesifik merangkumi setiap individu. Secara umumnya pergerakan adalah dalam radius 10 kilometer sahaja,

“Walau bagaimanapun pihak polis diberikan budi bicara dalam setiap kes yang berbeza (case by case basis) untuk mempertimbangkan pelepasan perjalanan termasuk merentasi daerah atau interstate,

“Kelonggaran ini diberikan buat penduduk yang memerlukan rawatan, ubat dan barang keperluan harian,” jelasnya lagi.

Related Articles

Leave a Reply