KUALA LUMPUR, 19 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diperluaskan ke seluruh negara kecuali Sarawak.
Ini berikutan perlaksanaan PKP di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang Terengganu, dan Perlis mulai 22 Januari sehingga 4 Februari 2021.
“PKP dilaksanakan berikutan peningkatan kes COVID-19 dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelas Ismail Sabri semasa Sidang Media Harian Perintah Kawalan Pergerakan.
Beliau menambah PKP di Seremban dan Port Dickson yang diumumkan semalam turut termaktub dengan pelaksanaan perintah tersebut di peringkat negeri.
Terdahulu, PKP dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, serta Labuan mulai 13 Januari hingga 29 Januari.
Perintah ini kemudiannya diperluaskan ke Kelantan dan 3 daerah di Sarawak pada 16 Januari berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di kawasan terbabit. – airtimes.my