Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: Teknologi dron bantu pemantauan dan hebahan awam di lokasi berisiko tinggi

COVID-19: Teknologi dron bantu pemantauan dan hebahan awam di lokasi berisiko tinggi

by Air Times News Network

PKPD SIMPANG RENGGAM – Penggunaan teknologi dron oleh pihak berkuasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini telah memasuki fasa ketiga dilihat terbukti berkesan dalam melaksanakan hebahan dan peringatan kepada orang ramai supaya terus mematuhi dengan arahan untuk memerangi penularan wabak COVID-19.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula mengaturgerakkan penggunaan teknologi dron dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawasi kawasan hotspot di seluruh negara pada 24 Mac 2020 iaitu fasa pertama PKP.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata penggunaan dron tersebut adalah untuk menentukan penguatkuasaan PKP dilaksanakan dengan lebih efisen untuk membuat liputan serta pengawasan dari udara dengan cepat bagi mengawal pergerakan orang ramai.

Panglima Tentera Darat berkata dron digunakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat untuk mematuhi PKP.

Manakala Panglima Tentera Darat, Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi selaku peneraju Op Penawar menegaskan pengoperasian dron oleh pihak tentera bertujuan mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan PKP.

“Kita telah mengaturgerak tim dron untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa dan ianya merupakan nilai tambah kepada operasi penguatkuasaan PKP,” kata Panglima Tentera Darat.

Penggunaan dron juga dapat menjimatkan masa untuk membolehkan pasukan keselamatan pergi ke sesuatu lokasi dengan lebih cepat.

“Dron turut digunakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat untuk mematuhi PKP. Selain itu, ianya menjadi mata kepada pihak berkuasa dan akan digunakan di hotspot serta zon merah,” kata Ahmad Hasbullah.

Teknologi ini digunakan sepenuhnya oleh anggota ATM dan PDRM untuk menyampaikan maklumat dan memantau pergerakan orang ramai di kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Simpang Renggam, Sungai Lui di Hulu Langat dan sekitar Masjid India di Kuala Lumpur.

Dron yang digunakan dilengkapi dengan pembesar suara untuk menghebahkan pesanan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Tamil, kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah.

Kerajaan telah mengumumkan PKPD yang pertama di Simpang Renggam, Johor pada 27 Mac 2020 melibatkan Kampung Dato’ Abdul Majid dan Bandar Baru Dato’ Abdul Majid. PKPD di kedua-dua kawasan di Simpang Renggam ini akan berakhir 28 April 2020.

Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu berkata Bilik Gerakan di Dewan Orang Ramai MDSR sebagai pusat operasi untuk menguruskan segala maklumat, penerimaan dan pengagihan bekalan

Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu berkata Bilik Gerakan di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) mula beroperasi semenjak PKPD dikuatkuasakan pada 27 Mac 2020.

“Bilik gerakan ini memainkan peranan sebagai pusat operasi yang menguruskan segala maklumat, penerimaan dan pengagihan bekalan,

“Jawatankuasa Bencana Daerah telah menggerakkan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan operasi PKPD berjalan lancar,

“Operasi bilik gerakan ini melibatkan pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah Kluang, MDSR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” jelas Ismail.

Melalui pembesar suara yang dipasang dari dron, Ketua Kampung Parit Penghulu, Abdul Jalil Misbah yang juga Ketua Sukaralewan untuk menghantar bekalan menyeru semua penduduk kampung untuk berada dirumah masing.

Ketua Kampung Parit Penghulu, Abdul Jalil Misbah membuat hebahan melalui pembesar suara dron menyeru semua penduduk kampung untuk berada di rumah masing-masing

“Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk kampung Parit Penghulu diminta berada dirumah masing-masing, saya sebagai Ketua Sukaralewan untuk menghantar bekalan kepada tuan-tuan akan bergerak dari rumah-kerumah,

“Pastikan jarak menerima barangan berupa bekalan dijarak 1 meter, pastikan tuan-tuan sentiasa berada dirumah,

“Saya ulangi!! pastikan barang-barang akan diterima dijarak 1 meter dari penghantar bekalan. Sekian Assalamualaikum,” ujarnya dalam hebahan tersebut.

Yang Dipertua Daerah MDSR, Mohammad Sukry Abd Rahim berkata penggunaan dron adalah satu kaedah moden

Ketika diminta mengulas mengenai peranan tim dron ATM didalam PKPD Simpang Renggam, Yang Dipertua Daerah MDSR, Mohammad Sukry Abd Rahim  berkata penggunaan ini adalah satu kaedah moden.

Beliau berkata dron ini dilengkapi Infra Merah (IR) bagi mengenalpasti dan mengumpulkan data tertentu kawasan-kawasan berisiko tinggi.

“Daripada keperluan ini juga, kita dapat menggunakan data dari Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi mengatasi dan melincinkan masalah yang spesifik,

“Jadi kita perlukan penglibatan jabatan yang mempunyai kepakaran ini untuk membantu secara terperinci agar setiap masalah kita dapat tangani dan kenalpasti ke akar umbinya sendiri,” ujarnya. – AirTimes

Related Articles

1 comment

Dron ATM jadi ‘mata-mata’ kesan ‘lorong tikus’ PATI di kawasan PKPD – Air Times News Network 13 May 2020 - 12:28 pm

[…] Artikel berkaitan: COVID-19: Teknologi dron bantu pemantauan dan hebahan awam di lokasi berisiko tinggi […]

Reply

Leave a Reply