Home Semasa Negara akan kerugian RM300 juta sehari semasa PKPB – Ismail Sabri

Negara akan kerugian RM300 juta sehari semasa PKPB – Ismail Sabri

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan negara akan mengalami kerugian sebanyak RM300 juta sehari sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diteruskan.

Menurut beliau, angka tersebut adalah berdasarkan pembentangan impak semasa dan jangkaan kesan pemulihan ekonomi yang disampaikan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jumaat lalu.

“Kita dibentangkan dengan impak semasa dan jangkaan kesan terhadap pemulihan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang terpaksa dihadapi sekiranya PKPB terus dilaksanakan,

“Dijangkakan KDNK negara akan kerugian sebanyak RM300 juta sehari,” katanya semasa Sidang Media Non-Health, semalam.

Beliau menambah, kerugian ini akan memberikan pelbagai kesan negatif yang lain seperti kemorosotan pasaran buruh, penurunan perbelanjaan isi rumah, kehilangan kerja serta penutupan perniagaan.

Ismail Sabri menegaskan kerajaan berhati-hati dan mempertimbangkan pelbagai aspek dalam merangka sebarang keputusan.

“Kerajaan menilai dari semua sudut untuk merangka sebarang pendekatan bagi mewujudkan keseimbangan antara menjaga kesihatan awam dan kesan terhadap ekonomi,” ujarnya.

Beliau menambah, pertimbangan ini telah memberi pengaruh kepada keputusan kerajaan untuk melakukan pendekatan baharu mulai Isnin ini.

Dalam sidang media yang diadakan semalam, Ismail Sabri mengumumkan lanjutan pelaksanaan PKPB di beberapa lokasi tertentu berdasarkan penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, beliau turut mengumumkan penamatan sekatan rentas negeri di seluruh negara kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply