Home Semasa COVID-19: Lembah Klang, Sabah masih catat bilangan kes harian yang tinggi

COVID-19: Lembah Klang, Sabah masih catat bilangan kes harian yang tinggi

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan angka kes jangkitan baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 1,123 kes.

Menurut beliau, sebahagian besar bilangan tersebut adalah dari Sabah dan kawasan Lembah Klang.

“Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 490 kes (43.6 peratus),

“Negeri Sabah melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 391 kes (34.8 peratus) dan diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 265 kes (23.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, bilangan kes aktif adalah sebanyak 10,775 kes manakala 4 kluster baharu dikesan.

Di Sabah, Kluster Batu Tiga di kesan di Tawau. Sementara itu, Kluster Jalan Domis dikesan melibatkan daerah Penampang, Kota Kinabalu dan Tongod.

Satu kluster baharu turut dikesan di Klang, Selangor yang dikenali sebagai Kluster Andalas.

Sementara itu, Kluster Tapak Bina Bulatan dikesan melibatkan daerah Cheras, Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, 4 kes kematian direkodkan pada hari ini dengan 2 daripadanya di Sabah manakala Selangor dan Johor masing-masing mencatatkan 1 kes kematian baharu pada hari ini.

Selain itu, seramai 1,143 pesakit telah diisytiharkan sembuh.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 60,204 kes,” kata Noor Hisham.

Sehingga kini, COVID-19 telah menjangkiti seramai 71,359 pesakit di negara ini dengan 380 kes kematian direkodkan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply