KUALA LUMPUR, 6 Dis – Gerila Hezbollah dilaporkan berjaya menyusup masuk ruang udara Israel dengan menggunakan dron.
Pendedahan itu dibuat melalui satu rancangan dokumentari yang diterbitkan oleh Hezbollah mengenai penglibatan mereka dalam beberapa konflik di rantau Timur Tengah termasuk di Syria dan Israel.
Rakaman berdurasi selama 20 saat itu memaparkan beberapa fasiliti ketenteraan di utara Israel.
Menurut Hezbollah, dron tersebut telah dihantar semasa latihan ketenteraan besar-besaran Israel sedang dilaksanakan di kawasan itu.

Salah satu berek tentera Israel yang dirakam oleh Hezbollah.
Media Israel melaporkan latihan ketenteraan tersebut adalah melibatkan senario serangan besar-besaran oleh Hezbollah terhadap negara itu.
Sehingga kini, Hezbollah enggan mendedahkan sebarang maklumat sama ada mereka menggunakan dron komersil atau UAV khusus buatan Iran.

Penggunaan dron komersil merupakan pendekatan off the shelf yang digunakan oleh beberapa pasukan milita di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Di atas kertas, kemajuan teknologi dron Hezbollah berbanding Israel jauh ketinggalan. Namun, pasukan militia dari Lubnan itu menggunakan pendekatan penggunaan teknologi komersil serta Iran.
Antara dron komersil yang digunakan adalah keluaran DJI dari China.
Selain itu, Hezbollah menggunakan UAV keluaran Iran seperti Mohajer, Ababil, Yasir dan Karrar.
Pasukan itu juga dilaporkan menggunakan teknologi loitering munition Ababil-T. – airtimes.my