Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Dron ATM jadi ‘mata-mata’ kesan ‘lorong tikus’ PATI di kawasan PKPD

Dron ATM jadi ‘mata-mata’ kesan ‘lorong tikus’ PATI di kawasan PKPD

by Nurulhuda

SELAYANG, 13 Mei – Pengoperasian dron secara meluas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal serta memantau pergerakan rakyat dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat berkesan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dilancarkan pada 24 Mac lalu, sebanyak 11 Tim Dron ATM yang dilengkapi alat teknologi pengesan haba dan pembesar suara telah memantau pergerakan individu secara lebih meluas terutama di kawasan sempit yang tidak boleh di lalui oleh anggota bertugas.

Dron yang digunakan juga memberikan siren amaran dan nasihat kepada masyarakat untuk mematuhi PKP dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Ingeris, Mandarin serta Tamil.

Ketua Tim Dron ATM, Kolonel Abdul Razak Sipit berkata, tujuan utama pengoperasian Tim Dron dalam Op Penawar adalah untuk memantau tahap kepatuhan orang ramai terhadap penguatkuasaan PKP yang diisytiharkan oleh kerajaan.

Menurut beliau, setiap tim dron dianggotai 3 krew termasuk seorang pegawai. Tim ini telah ditugaskan untuk memantau hampir di kesemua kawasan termasuk Sabah dan Sarawak.

Setiap tim dron dianggotai 3 krew termasuk seorang pegawai. Tim ini telah ditugaskan untuk memantau hampir di kesemua kawasan termasuk Sabah dan Sarawak – Ketua Tim Dron ATM, Kolonel Abdul Razak Sipit. Foto: AirTimes/Fahmi

Abdul Razak berkata pada peringkat awal penguatkuasaan PKP, tim dron telah diaturgerakkan untuk memberikan siren amaran pematuhan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti kurang pematuhan daripada masyarakat setempat.

“Terdapat kawasan dimana masyarakatnya kurang patuh, oleh sebab kurang patuh kita bunyikan siren amaran untuk pematuhan,

“Pelbagai jenis amaran kami buat supaya mereka terus patuh kepada arahan semasa. Pada yang ingkar pada arahan, kita laporkan kepada pihak polis,

“Dan untuk makluman, tangkapan juga telah dibuat oleh pihak polis,” jelasnya ketika ditemui di Selayang Baru.

Artikel berkaitan: ATM, PDRM aturgerak dron pantau Perintah Kawalan Pergerakan hari ini

Tim Dron ATM bantu pihak pengurusan PKPD

Menyentuh pada fasa PKPD pula, Abdul Razak menyatakan tim dron telah diaturgerakkan di kawasan PKPD seperti di Simpang Renggam, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat dan sekitar Selayang Baru, Selangor untuk membantu pihak pengurusan yang melaksanakan PKPD.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai gambaran sepenuhnya kawasan yang perlu dibuat pemantauan. Jadi kami memeriksa dan memantau lorong tikus serta jalan keluar masuk yang menjadi sasaran Pendatang Tanpa Izin (PATI) ke negara ini,

Tim Dron ATM ditempatkaan di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur dan Bandar Baru yang diisytiharkan sebagai PKPD. Foto: AirTimes/Azuwan

“Kami turut dibantu Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk mendapatkan gambaran penuh imej satelit dimana ia meliputi ruang lingkup yang lebih kecil iaitu dari 10 kilometer ke 5 kilometer,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, tim dron juga masih membantu pihak pengurusan PKPD dalam melaksanakan hebahan semasa. Tetapi hebahan tersebut bukan lagi berunsur arahan atau amaran.

“Hebahan lebih berunsur nasihat berkaitan cara penjagaan kesihatan serta bekalan yang akan diberikan kepada penduduk yang terkandas di kawasan berkenaan,

Tim Dron diaturgerakan di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor. Foto: AirTimes/ Azuwan

“Sekaligus hebahan ini dapat meredakan serta melegakan masyarakat yang berada zon terbabit,” tambah Abdul Razak.

Selain itu, Abdul Razak menjelaskan tim ini turut membantu Pegawai Daerah dalam mengemaskini laluan sekatan jalan raya serta laluan tambahan yang dirasakan perlu dibuat sekatan bagi mengawal pergerakan rakyat ketika fasa 1 hingga fasa 3 PKP.

“Kami turut memantau pengurusan pasar-pasar basah dan bank yang dikesan tidak dilaksanakan dengan teratur,” kata Abdul Razak.

Artikel berkaitan : Dron menjadi mata untuk kuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan

Skop tim dron diperkecilkan ketika PKPB

Ketika pelaksanaan PKPB, skop pengoperasian tim dron telah diperkecilkan, dimana tim ini membantu kerajaan dalam memantau aktiviti sukan yang tidak dibenarkan seperti bola sepak dan sukan riadah yang melibatkan kumpulan yang besar.

“Tim dron masih meneruskan pemantauan terhadap kepatuhan rakyat terutamanya dalam menjaga penjarakan sosial dan pengurusan pasar-pasar basah, tetapi lebih memfokuskan kepada aktiviti yang tidak dibenarkan,

“Dalam masa yang sama, imej dron dan maklumat yang diperolehi turut dikongsi kepada Jabatan Penerangan Daerah untuk dibuat hebahan mengenai pemantauan dan penguatkuasaan yang masih dilaksanakan,” katanya lagi.

Abdul Razak turut berkata Tim Dron ATM bukan sahaja membantu pihak polis dan pengurusan setempat dalam memastikan pematuhan rakyat kepada PKP, tetapi tim ini juga telah membuat pembaharuan kawasan bentuk muka bumi dengan mengesan lorong tikus yang akan digunakan oleh pasukan petugas khas (Special Task Force) untuk melaksanakan operasi seterusnya semasa menangani wabak pandemik COVID-19. – AirTimes

Artikel berkaitan: COVID-19: Teknologi dron bantu pemantauan dan hebahan awam di lokasi berisiko tinggi

11 Tim Dron ATM yang dilengkapi alat teknologi pengesan haba dan pembesar suara. Foto: AirTimes/Fahmi

 

Related Articles

1 comment

RAKHAMAWATI BINTI GHAZALI 15 May 2020 - 6:43 am

Tahniah ATM.. SEMAKIN HEBAT DAN MANTAP MENJAGA KEAMANAN NEGARA

Reply

Leave a Reply